Skip to main content
Berita TempatanSabah

Empat Beradik Kongsi Kasih Ibu Tumpang Sambut Lebaran

By 16 Jun 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan & Foto : Nur Azean Makbul (Sabah)

KOTA KINABALU, 16 Jun (Malaysiaktif) – Sambutan hari lebaran tahun ini dianggap hari yang cukup bahagia walau bukan daripada darah daging sendiri tetapi empat beradik dari kampung Sembirai gembira dapat berkongsi kasih bersama ibu tumpang yang menjaga mereka.

Ibu tumpang, Rosnah Igal, 54, berkata walau bukan darah daging sendiri tetapi saya sanggup untuk menjaga empat beradik Momad Azizan Hairy, 12, NurShazairy, 10, Momad Hafryzan Wafie, 9, dan Momad Amizan Hairy, 8 dengan sepenuh hati kasih dan sayang sama seperti anak kandung sendiri.

Rosnah menyatakan kanak-kanak tersebut ialah anak saudaranya yang mengalami masalah kehidupan hingga terpaksa membantu demi sayangnya kepada kanak-kanak terbabit.

Katanya, saya mula menjaga mereka sekitar 2010, apabila  ibu kanak-kanak tersebut terpaksa meminta bantuan untuk menjaga anak-anaknya selama empat hari dengan alasan hendak mencari rumah sewa.

Tambahnya, kesulitan hidup ibu kepada anak-anak tersebut bermula sejak 2008 apabila suaminya didapati menghilangkan diri menyebabkan situasi hidup keluarga terbabit semakin tertekan. Akhirnya tugasan menjaga diberikan sepenuhnya kepadanya apabila ibu kepada kanak-kanak terbabit telah berkahwin baharu tetapi tidak dapat menjaga kerana terpaksa mengikuti suami ke Brunei.

“Atas belas kasihan saya pasrah menerima dugaan tersebut walaupun ketika itu kehidupan saya hanya bergantung kepada usaha berniaga kecil-kecilan bersendirian selain terpaksa menjaga suami tersayang yang terlantar sakit akibat serangan strok,” ujarnya.

Rosnah bersama anak-anak angkatnya yang sering membantunya menjaga suaminya di rumah

Rosnah bersama anak-anak angkatnya yang sering membantunya menjaga suaminya di rumah

Jelasnya lagi, ada ketikanya saya menerima sekampit beras dan duit bernilai RM30 kiriman daripada ibu kanak-kanak terbabit yang disampaikan oleh pemandu bas mini tetapi tidak menyatakan alamat atau lokasi ibu kanak-kanak terbabit.

Selain terpaksa menjaga empat beradik, Rosnah turut menanggung tiga lagi anak kandungnya hasil perkongsian hidup bersama suami Jaslan @ Maikal Azam yang terlantar sakit.

Tambahnya, keadaan ini memaksanya berhenti berniaga untuk menjaga suaminya yang tidak dapat berjalan dan bercakap.

“Ketika itu kehidupan kami hanya bergantung kepada pendapatan anak sulungnya yang bekerja sebagai pembantu taska di samping bantuan kebajikan yang diperoleh suami sebanyak RM300 sebulan yang hanya dapat menampung pembelian lampin pakai buang dan susu tepung sahaja.

“Syukur kepada Allah, mendengar rintihan saya menyebabkan empat beradik tersebut diambil oleh nenek mereka untuk dijaga di kampung Likas tapi hanya setahun apabila rumah di kampung tersebut terbakar menyebabkan empat beradik tersebut kembali di bawah jagaan saya,” jelasnya.

Kini, perasaan sayang kepada anak-anak tersebut semakin menebal menyebabkan Rosnah tekad untuk menawarkan diri menjaga mereka dan Momad Amizan, adik bongsu empat beradik tersebut juga serasi memanggilnya emak.

Momad Azizan Hairy semasa menerima sumbangan bantuan raya daripada Datin Seri Norazlina Tan Sri Awang Had iaitu isteri kepada Ahli Parlimen Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

MoHad Azizan Hairy semasa menerima sumbangan bantuan raya daripada Datin Seri Norazlina Tan Sri Awang Had.

Rosnah meluahkan isi hati sanggup menerima kembali anak-anak itu sedangkan kehidupannya susah hanya kerana satu perasaan iaitu anak-anak ini ibarat penghilang tekanan yang dialaminya.

“Walau penat macam mana saya mengurus suami, semua perasaan tersebut hilang apabila melihat mereka.

“Ramadan dan Aidilfitri tahun ini kami sambut macam biasa saja, anak-anak ini tidak pandai merungut, kanak-kanak lain biasa untuk membeli makanan berbuka di bazar tapi mereka lebih suka kuih yang digoreng di rumah sahaja, lauk sahur dan berbuka pun mana yang ada saja, walaupun nasi dengan kicap,” katanya sambil tersenyum.

Namun, jauh di sudut hati Rosnah melahirkan kebimbangan terhadap masa depan kanak-kanak ini kerana punca pendapatannya agak terbatas yang terpaksa bergantung kepada bantuan yang diterima.

“Sumber pendapatan saya untuk beberapa bulan ini akan berubah berikutan anak sulung saya terpaksa berhenti bekerja di taska kerana akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pertanian Sabah di Timbang Mengaris manakala anak kedua pula sekadar bekerja sebagai pencuci kereta dengan pendapatan RM30 sehari,” jelasnya.

Sementara itu, anak Sulung, Siti Erra Jaslan, 21, berkata sebagai anak sulung dia bimbang memikirkan keadaan ibu, ayah dan adik-beradik lain termasuk empat orang adik angkat berikutan kekurangan sumber pendapatan untuk memenuhi keperluan seharian.

“Rasa bersalah juga berhenti kerja tetapi ibu berkeras untuk saya sambung belajar untuk masa depan dan saya berharap selepas dari belajar nanti akan dapat peluang bekerja secara tetap bagi menampung sara hidup keluarga,” katanya semasa dihubungi pada Khamis petang.

Siti Erra turut menyuarakan rasa simpati dengan nasib empat beradik angkatnya dan tidak kisah dengan keputusan ibu untuk menjaga mereka kerana dia turut merasa kasihan dan sudah menjadi tanggungjawab sebagai anak sulung untuk rela berkorban menempuh cabaran hidup.

Siti Erra berkata demikian semasa dihubungi selepas menemankan adik angkatnya Mohad Azizan Hairy menerima sumbangan bantuan raya daripada, isteri kepada Ahli Parlimen Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan,  Datin Seri Norazlina Tan Sri Awang Had di kediamannya pada Khamis petang.

-SF

Tinggalkan komen anda