Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Nostalgia Kad Hari Raya

By 19 Jun 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto: Masitah Mat Zin (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Dahulu, setiap kali menjelang Aidilfitri tidak sah kiranya jika tidak dimeriahkan dengan tradisi pemberian kad raya. Ketika itu, kehadiran abang posmen paling ditunggu seluruh ahli keluarga. Kad raya ibarat suatu kewajipan sebagai pengganti diri buat kenalan yang jauh mahupun dekat.

Namun kini tradisi ini hilang secara perlahan-lahan. Bermula dengan sistem pesanan ringkas (SMS), sistem pesanan multimedia (MMS) sehinggalah ke aplikasi Whatsapp dan penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, semua medium ini telah mengambil alih peranan kad raya.

Sejauh mana kad raya ini masih relevan?

Menerusi tinjauan Malaysiaaktif di sekitar Seremban baru-baru ini, memberikan pendapat dan reaksi berbeza tentang amalan ini.

Menurut penjawat awam, Siti Aminah Ghani, 32, dia masih mengamalkan tradisi pemberian kad raya memandangkan tradisi ini mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.

Koleksi Kad Raya daripada Menteri Besar Negeri Sembilan

Koleksi Kad Raya daripada Menteri Besar Negeri Sembilan

“Tambahan pula, di Negeri Sembilan, Menteri Besar, Datuk Mohamad Hasan sendiri masih lagi mengamalkan tradisi menghantar kad raya kepada semua kakitangan awam di negeri ini,” ujarnya.

Bagi Kakitangan Pejabat Menteri Besar (MB), Norsyakila Ahmad Syafiee, 32, memang menjadi kelaziman pejabat MB mengedarkan kad raya kepada semua kakitangan awam Negeri dan Persekutuan.

“Untuk tahun ini kita telah memberikan 20 ribu kad raya yang telah diedarkan bersama jemputan Rumah Terbuka Datuk. Kad raya ini menjadi tradisi wajib bagi kami di Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, penjawat awam, Siti Zuraida Nor Aidi, 32, mempunyai pendapat yang berbeza kerana memilih media sosial berbanding kad raya.

Siti Zuraida Nor Aidi

Siti Zuraida Nor Aidi

“Kekangan masa menyebabkan saya tidak berminat untuk membeli kad raya. Bukan itu sahaja, kita juga perlu ke pejabat pos, membeli setem dan sebagainya. Dengan menggunakan media sosial lebih cepat, mudah dan tanpa melibatkan wang,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Kakitangan Pejabat Pos Seremban, Razali Abd Wahab, 42, seiring dengan peredaran masa, Pos Malaysia pada tahun ini telah mengambil inisiatif mengeluarkan kad raya digital yang lebih canggih dan terkini.

“Kad raya digital itu dijual dengan harga RM6.25 untuk satu pek dalam bentuk poskad. Terdapat empat pilihan kad raya berserta setem. Memandangkan kad raya ini lebih terkini, sambutan adalah menggalakkan daripada golongan muda.

Poskad Animasi Aidilfitri Pos Malaysia

Poskad Animasi Aidilfitri Pos Malaysia

“Sehingga kini Pos Malaysia telah mengeluarkan 5,000 poskad dan hanya masih berbaki 1,000 poskad sahaja lagi. Namun Pos Malaysia masih lagi menerima penghantaran kad raya tradisional yang menjadi kebiasaan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya ketika dihubungi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor melancarkan Poskad Animasi Aidilfitri di Pusat Internet Desa dan Pos Tanjung Kling, Melaka pada 21 Mei.

Gabungan teknologi digital dan kad berbentuk fizikal ini merupakan inisiatif Pos Malaysia bagi mendidik generasi muda tentang nilai kenangan sekeping kad ucapan perayaan yang semakin pupus.

-SF

Tinggalkan komen anda