Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurWilayah Persekutuan

Ops Selamat 11 Dilancarkan Sempena Aidilfitri

By 14 Jun 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Mohd Shahfuri Saidan & Syaiful Harif (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Kempen Ops Selamat 11 yang bertemakan ‘Rumah Selamat dan Selamat Sampai ke Destinasi’ akan dilaksanakan selama dua minggu bermula 18 Jun hingga 2 Julai 2017.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid, kempen ini merupakan kolaborasi antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Telekom Malaysia Berhad (TM).

“PDRM akan mempertingkatkan kawalan keselamatan melalui rondaan yang lebih kerap di kawasan kediaman dan menyarankan masyarakat yang ingin pulang ke kampung agar mengisi Borang Maklumat Balik Kampung ke balai polis berhampiran atau muat turun di portal PDRM,” jelasnya.

Tambah Khalid, objektif utama Kempen Ops Selamat 11 adalah untuk membawa mesej keselamatan yang merangkumi keselamatan kediaman dan meminimumkan kemalangan jalan raya.

“Analisa oleh PDRM menunjukkan sebanyak 94 peratus kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu yang mana meliputi 7 ribu kematian sepanjang tahun.

“Ops Selamat 2016 mencatatkan peningkatan sebanyak 254 kes atau 2.6 peratus kemalangan berbanding tahun sebelumnya,” ujar Khalid pada majlis perasmian Kempen Ops Selamat 11, di sini hari ini.

Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika menyempurnakan gimik perasmian Kempen Ops Selamat 11

Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika menyempurnakan gimik perasmian Kempen Ops Selamat 11

Jelas Khalid, berdasarkan rekod antara punca kecuaian ialah seperti memandu melebihi had laju, memotong barisan, menggunakan laluan kecemasan serta penggunaan telefon bimbit semasa memandu.

“Ops Selamat 11 turut melibatkan kerjasama agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, PLUS, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya lagi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Sri Mohammed Shazalli Ramly.

– AH

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda