
Laporan dan foto oleh: Herman Hamid & Mohd Izzideen Khairi Zakaria (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Menjelang Aidilfitri, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyampaikan mesej kekeluarga yang menekankan kepentingan menghargai detik bersama keluarga menerusi ‘Dugaan Raya Aida’.
Menurut Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, Aidilfitri merupakan ruang untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan menyuburkan kemesraan.
“TNB pada tahun ini telah menghasilkan sebuah muzik video raya dan satu siri video digital resepi kuih raya bagi memeriahkan sambutan Syawal yang akan bermula hari ini di media sosial dan pada 22 Jun akan ditayangkan bagi iklan televisyen sepanjang tiga minggu kempen ini dilancarkan,” katanya.
Jelas Roslan, dalam menyambut Syawal TNB mahu menonjolkan nilai-nilai yang melangkaui paparan biasa iklan televisyen mahupun di akhbar tempatan.
“Kempen ini berkisar kisah Aida iaitu seorang gadis kampung yang bekerja di kota metropolitan Kuala Lumpur.
“Walaupun hidup dalam kesibukan dan dilema namun keluarga adalah yang paling penting dan utama,” kata Roslan ketika ditemui semasa sesi pratonton iklan televisyen Aidilfitri “Dugaan Raya Aida” bersama media, di sini hari ini.
Sementara itu, Roslan memberitahu bahawa video muzik Ceria Di Hari Raya nyanyian Asmidar membawa sentuhan berbeza daripada lagu Suasana Hari Raya dendangan Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini dalam bentuk lirik baharu.
Tambah Roslan, video digital pula diterbitkan sebagai siri video ‘Kuih Raya Aida’ bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk berkongsi resipi kuihnya.
Roslan turut menggalakkan orang ramai untuk berkongsi bakat membuat kuih raya ciptaan sendiri atau menggunakan Resepi Aida dan menghantarkannya dengan hashtag #DugaanRaya dan #TNBRAYA2017.
Filem web Aidilfitri TNB ini boleh disaksikan dengan melayari http://www.YouTube.com/tenagaofficial.
Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin.
– AH