Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Rujuk TTA PLUS Elak Kesesakan Sempena Aidilfitri

By 15 Jun 2017Jun 16th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Norfarhana Mohd Zainal Abidin (Petaling)

PETALING JAYA, 15 Jun (Malaysiaaktif) – “Sebanyak 1.7 juta kenderaan dianggarkan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada hari puncak menjelang Aidilfitri 2017, iaitu peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding 1.4 juta kenderaan pada hari-hari biasa.”

Demikian kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail ketika sesi sidang media yang diadakan di PERSADA PLUS Subang, di sini, hari ini.

“PLUS merangka beberapa strategi untuk pengagihan trafik di samping memantapkan operasi pengurusan lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa pada musim perayaan ini.

Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) PLUS bagi melancarkan trafik di lebuh raya sempena Aidilfitri 2017

Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) PLUS bagi melancarkan trafik di lebuh raya sempena Aidilfitri 2017 / Gambar ihsan: PLUS

 

“Antara strategi yang telah dirangka oleh PLUS adalah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bermula dari 21 Jun sehingga 3 Julai ini di mana melalui TTA ini, pengguna lebuh raya dari Lembah Klang menghala ke Perlis, Kedah, Penang, Perak dan juga Johor dicadangkan untuk memulakan perjalanan sebelum jam 10.00 pagi.

“Manakala, bagi negeri-negeri lain, PLUS mencadangkan agar perjalanan dimulakan selepas jam 10.00 pagi. Begitu juga dengan perjalanan balik dari negeri-negeri yang disebutkan menghala ke Lembah Klang dicadangkan untuk menggunakan jadual yang sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azman turut memaklumkan pihak PLUS menawarkan rebat tol pada hari bukan puncak bagi perjalanan kenderaan Kelas 1 yang melebihi 100 kilometer di Lebuh Raya kendalian PLUS.

Datuk Azman dan Mohammad Fuad menunjukkan kad PLUSMiles yang menawarkan kelebihan kepada pengguna Lebuh Raya PLUS

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi (kanan) menunjukkan kad PLUSMiles yang menawarkan kelebihan kepada pengguna Lebuh Raya PLUS

 

“Sebanyak 30 peratus rebat tol untuk transaksi tol menggunakan kad PLUSMiles manakala sebanyak 10 peratus rebat tol untuk transaksi tol menggunakan kad Touch ‘n Go pada tarikh 19, 20, 21, 28, 29 Jun serta 3 Julai 2017.

“Rebat tersebut hanya akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles dan Touch ‘n Go apabila pengguna menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS pada 15 Julai hingga 14 Oktober 2017. Walau bagaimanapun, rebat ini tidak meliputi transaksi tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang,” jelasnya.

Selain itu, pihak PLUS turut mengambil langkah menutup kesemua 134 Lorong Tambah Nilai di plaza-plaza tol sepanjang Lebuhraya PLUS mulai 22 Jun hingga 2 Julai 2017. Pengguna dinasihatkan untuk menambah nilai di 9,200 lokasi yang lain terdiri daripada mesin ATM, kedai serbaneka 24 jam, stesen-stesen minyak dan lain-lain.

Pembentangan pembahagian tarikh dan waktu puncak Lebuhraya Utara Selatan

Pembentangan pembahagian tarikh dan waktu puncak Lebuhraya Utara Selatan

 

“PLUS juga akan menugaskan lebih ramai kakitangan di lebuh raya dan pusat kawalan trafik, menambah jumlah pasukan dan rondaan PLUSRonda, menempatkan pasukan bantuan kecemasan di lokasi strategik dan pertambahan kawasan meletak kenderaan.

“Di samping itu, PLUS turut membuka tandas bergerak sementara, menyediakan trak tunda tambahan di lokasi terpilih, pemantauan trafik dari udara, penempatan trak makanan bergerak di hentian terpilih dan lain-lain lagi. Kenderaan berat juga dilarang menggunakan lebuh raya PLUS pada tarikh 23 dan 24 Jun serta 1 dan 2 Julai 2017,” tambahnya lagi.

Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan info trafik terkini menerusi aplikasi dan juga laman sosial PLUS. Dalam pada itu, aplikasi telefon pintar ‘PLUS Mobile Apps’ juga telah ditambahbaik menerusi pertambahan butang ‘SOS’ bagi memudahkan pengguna yang mengalami kecemasan menghubungi pihak PLUS.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda