
Laporan dan foto : Wee Kim Been /Mohamad Anizan Mat Daud
KOTA BHARU, 06 Jul (Malaysiaaktif) – Sambutan Aidilfitri yang julung-julung kali diadakan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Chung Hwa, di sini cukup harmoni.
Menurut penaung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Wee Pock Sun, 56, kemeriahan Aidilfitri tidak hanya diraikan oleh bangsa Melayu, malah kaum lain turut meraikannya dalam semangat bangsa Malaysia.
“Citra budaya dan kemuafakatan antara kaum tanpa mengira etnik menghasilkan sebuah keluarga yang cukup harmoni, saya berharap agar semangat ini terus kekal untuk diwarisi oleh generasi akan datang,” ujarnya.
Turut berkongsi rasa yang sama, penyelaras Kelab 1 Malaysia, juga guru sekolah berkenaan, Azilah Jusoh, 51, menyifatkan majlis ini platform terbaik memupuk semangat sehati sejiwa dalam kalangan rakyat hari ini.
“Terharu melihat kegembiraan pelajar-pelajar pelbagai kaum yang dilihat begitu bersemangat berganding bahu menterjemahkan keharmonian masyarakat di sini,” jelasnya kepada Malaysiaaktif.
Majlis ini ternyata memberi makna cukup positif kepada para pelajar kerana ianya memberikan gambaran perpaduan masyarakat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, kepercayaan serta anutan.
-SH