
Laporan: Malina Jamarin / Foto: Syron A.Tunggolou (Sabah)
KOTA KINABALU, 7 Jul(Malaysiaktif) – Masyarakat sekitar Kota Kinabalu berpeluang menikmati pelbagai kemudahan disediakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada kadar yang lebih murah melalui penggunaan ‘DBKK Smart Card’.
‘DBKK Smart Card’menawarkan pelbagai keistimewaan mahupun kemudahan kepada pengguna atau pemegang kad ini di Kota Kinabalu nanti.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai berkata tercetusnya penghasilan ‘DBKK Smart Card’ ini sebagai kesinambungan kepada penubuhan Rakan Bandaraya itu sendiri.
Jelasnya, sejak penubuhan Rakan Bandaraya pada 24 Ogos 2002 oleh mantan Datuk Bandar pertama, Brig. Jen. Datuk Ghani Abdul Rashid, kini jumlah Rakan Bandaraya telah mencecah seramai lebih 20 ribu orang ahli.
Yeo berkata tiga objektif utama penubuhan rakan bandaraya ini iaitu membantu DBKK dengan menyertai atau penglibatan berterusan untuk kepelbagaian aktiviti Bandaraya.
“Selain itu, bagi menerap cinta akan kebersihan dalam kalangan ahli dan meningkatkan kesedaran mendidik warga bandar tentang pentingnya menjaga kebersihan,” ujarnya.
Tambah Yeo lagi, penduduk sekitar Kota Kinabalu berpeluang menjadi ahli iaitu sama ada pelajar institut pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan sukarela, rukun tetangga, individu serta orang awam.
“Kad ini mampu memantapkan lagi setiap program Rakan Bandaraya dalam menjayakan misi dan visi menjadikan bandar ini harmoni dan selesa diduduki.
Yeo berkata demikian sempena Majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) dan DBKK di Dewan Mesyuarat Tingkat 1 DBKK pada baru-baru ini.

Datuk Jainab Datuk Seri Ahmad Ayid (dua dari kiri) bersama Datuk Bandar KK Datuk Yeo Boon Hai (Kiri) dan Menteri Bertanggungjawab kepada DBKK, Datuk Ir.Edward Young Oui Fah, dan Pengarah Urusan PNMB, Mohamad Abdullah (kanan) memegang contoh DBKK Smart Card
Terangnya lagi, ‘DBKK Smart Card’. yang dihasilkan melalui PNMB ini memiliki ciri-ciri kad pintar pelbagai fungsi serta berteknologi canggih dan berkapasiti tinggi kepada sektor awam dan swasta.
“Selain itu kad tersebut turut bercirikan keselamatan seperti QR Code bagi tujuan pengesahan, peranti pembaca kad boleh mengimbas maklumat dari kad pengenalan untuk tujuan pendaftaran.
“Bagi ciri tambahan yang akan datang ialah E-Wallet untuk membolehkan pembayaran melalui aplikasi telefon pintar dan maklumat keahlian juga boleh disemak melalui laman sesawang atau aplikasi telefon pintar (Android dan Ios).
Setiap individu yang berminat memperoleh kad tersebut pendaftaran akan dikenakan yuran sebanyak RM10 dan DBKK akan memberikan kupon letak kereta pada nilai yang sama semasa pendaftaran.
Ahli yang memiliki kad turut berpeluang mengumpul mata (point sistem) untuk penyertaan aktiviti DBKK iaitu ahli perlu mengumpul sejumlah mata untuk memperbaharu keahlian secara percuma pada tahun berikutnya.
Yeo memaklumkan yuran pembaharuan keahlian, nilai mata untuk setiap aktiviti dan had minimum mata terkumpul untuk pembaharuan keahlian percuma akan ditetapkan kelak.
“Sistem mata ganjaran ini akan menawarkan ahli mata ganjaran yang ditentukan bagi setiap aktiviti atau kerja sukarelawan alam sekitar yang akan dijalankan dan mata ganjaran akan berbeza mengikut program.
“Setiap ahli Rakan Bandaraya yang berdaftar secara automatik turut menjadi Ahli PEMADAM selain menikmati pelbagai kemudahan lain seperti dapat menggunakan tandas awam percuma serta menggunakan basikal free ride DBKK tanpa deposit,” jelasnya lagi.
Sementara itu, responden, Supian Buang, 38, berkata DBKK dimohon agar setiap ahli Rakan Bandaraya iaitu pengguna kad tersebut perlulah juga diberikan insuran berdasarkan mata kelayakan kepada setiap pengguna yang mengikuti acara DBKK.
“Diharap setiap pengguna kad tersebut turut diberikan insuran berdasarkan kepada mata ganjaran sebagai sokongan dan penghargaan kepada ahli yang komited menjayakan pelbagai acara yang dianjurkan DBKK,” jelasnya
Dalam pada itu, Mozidah Hamzah, 50, pula berharap setiap pengguna ‘DBKK Smart Card’ hendaklah diberikan keutamaan tanpa bayaran terutama terhadap kemudahan yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu seperti Taman Awam mahupun Dewan dan diberi laluan khas untuk urusan di kaunter DBKK bagi urusan berkaitan DBKK.
Manakala Annie Lee, 30, turut mencadangkan agar pengguna kad tersebut diberikan keistemewaan tambang bas ‘City Bas’ yang lebih rendah berbanding yang lain seperti keistimewaan kepada pemegang kad yang dipraktikkan di Kuala Lumpur.
“Pemberian diskaun kepada pemegang kad ini perlu sebagai satu usaha menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan kemudahan awam dan seterusnya mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar bandar ini.
Tambahnya, melalui pemberian diskaun ini pasti mampu merancakkan lagi minat orang ramai menggunakan perkhidmatan ‘City Bus’ memandangkan bandaraya ini bakal memiliki sebuah lagi terminal baharu bagi perkhidmatan pengangkutan awam ini,” ujarnya.
Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Penyelaras Rakan Bandaraya DBKK, Benedict Oliver Lidadun, berharap dengan adanya kad ini penubuhan Rakan Bandaraya tidak akan sia sia malah lebih teratur seterusnya menyokong visi DBKK iaitu menjadikan Kota Kinabalu sebagai Banda Raya Bersih, dan Hijau menjelang 2020.
-SF