Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajayaViralWilayah Persekutuan

4,000 Penjawat Awam Sertai Gemilang Walk

By 25 Ogos 2017September 5th, 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan Foto oleh: Aimi Huwaina (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Lebih 4,000 penjawat awam menyertai acara jalan kaki ‘Gemilang Walk’ sejauh 1.6km sebagai tanda sokongan dan menyemarakkan lagi sambutan bulan kebangsaan di sini, hari ini.

Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa, dia teruja dan bangga melihat semangat patriotisme yang ditunjukkan oleh penjawat awam.

“Di sini kita dapat lihat sempena menyambut Hari Kebangsaan yang ke-60 ini, penjawat awam menghargai apa yang kita telah terima dalam peranan yang kita telah mainankan untuk membangunkan negara bersama-sama dengan kerajaan. Kerajaan menggubal dasar-dasar dan penjawat awamlah yang melaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Katanya, penjawat awam muda memainkan peranan yang sangat penting kerana selain memberikan idea-idea, mereka jugalah yang akan terlibat dalam pelaksanaan dan merasai pengertian TN50.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Ragum Seman menyerahkan logo 1Malaysia Negarakku kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman menyerahkan logo 1Malaysia Negaraku kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Tambah Ali Hamsa, dia menjangkakan bahawa negara akan lebih meningkatkan pertumbuhan ekonomi melebihi 5 peratus pada tahun ini.

“Baru-baru ini telah diumumkan kadar pertumbuhan ekonomi pada suku tahun kedua sebanyak 5.8 peratus dan sebelum itu ialah sebanyak 5.6 peratus pada suku tahun pertama, tetapi saya rasa apa yang penting ialah ia melebihi semua unjuran yang kita telah buat .

“Yang penting di sini ialah saya nak lihat semangat penjawat awam menyokong semua usaha-usaha kerajaan dan terus berkhidmat dengan cemerlang demi kesejahteraan rakyat di Malaysia,” katanya lagi.

Peserta-peserta Gemilang Walk tiba di garisan penamat.

Peserta-peserta Gemilang Walk tiba di garisan penamat.

Program anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) ini turut mempertandingkan tiga kategori utama iaitu pertandingan kontijen terbaik yang dimenangi oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam sekitar; sepanduk tercantik, Kementerian Pertahanan dan kontijen teramai, KKMM.

Menurut Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM, Datuk Samsuni Mohd Nor, kemenangan KKMM dalam kategori kontijen teramai adalah sebagai satu motivasi kepada kementerian dan agensi-agensi lain.

“Kita bercadang kemungkinan benda ini akan diadakan secara tahunan dan kita buat secara giliran. Kita memulakan sebagai motivasi, kemungkinan orang melihat bagaimana kemeriahannya. Kebetulan dengan semangat yang ada mereka datang beramai-ramai, walau tak dijemput pun hadir, jadi ini menunjukkan semangat kebersamaan kita.

“Kita berharap program ini kita akan beri peluang kepada lain-lain agensi atau kementerian-kementerian untuk menjadi hos pada tahun hadapan. Itu mungkin cadangan yang kita boleh fikirkan, supaya kita buktikan bahawa ini bukan hanya KKMM sahaja tetapi untuk memastikan semangat patriotik ditiupkan oleh KKMM. Ini sebagai permulaan dan saya rasa permulaan ini adalah permulaan yang amat berjaya dan meriah,” katanya.

Para peserta mengibar Jalur Gemilang semasa nyanyian lagu tema Hari Kebangsaan 2017, Negaraku, Sehati Sejiwa.

Para peserta mengibarkan Jalur Gemilang semasa nyanyian lagu tema Hari Kebangsaan 2017, Negaraku, Sehati Sejiwa.

Jelas Samsuni lagi, tahun ini terdapat banyak faktor yang mendorong kepada kemeriahan sambutan bulan kebangsaan berbanding tahun lepas.

“Walaupun kita mempunyai persaingan dari segi penganjuran Sukan Sea (KL2017), tetapi dengan adanya koloberasi, kita saling lengkap melengkapi antara satu sama lain, jadi makin gah. Sekarang ini rakyat menunggu-nunggu dengan penuh debaran untuk sampai ke 31 ogos nanti. Banyak lagi faktor-faktor wow factor yang kita akan lihat pada hari berkenaan,” katanya.

Kemuncak sambutan Bulan Kebangsaan yang bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa adalah acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2017 yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos 2017, manakala Karnival Hari Malaysia akan diadakan selama tiga hari dari 15 hingga 17 September di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2017.

Tinggalkan komen anda