Skip to main content
Berita TempatanSabah

Atlet Sabah Terharu Kejayaan Cipta Rekod Kebangsaan Dihargai

By 25 Ogos 2017Tiada komen5 minit bacaan

Laporan: Yahya Abdul Rajak & Asmidar Zainol / Foto: Volintine Jiloh (Sabah)

KOTA KINABALU, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Pemegang rekod kebangsaan acara sukan lempar cakera Sabah, Gabriel Moinjil terharu apabila kejayaannya diiktiraf dan disemadi sebagai tatapan masyarakat dan generasi akan datang.

Kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara lempar cakera yang dilakukannya pada temasya Sukan SEA ke-15 di Malaysia pada 1989 dengan catatan lemparan sejauh 47.38 meter berjaya membantu negara memperoleh kilauan pingat gangsa.
Bertugas sebagai Pegawai Belia dan Sukan Kanan di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan, Gabriel Moinjil menyuarakan rasa terima kasih kepada Arkib Negeri Sabah, mengiktiraf kejayaannya sebagai satu lagi lipatan sejarah atlet Sabah yang wajar dikenang.

Gabriel (dua dari kiri) menerangkan kejayaan yang dicapainya kepada hajiji (dua dari kanan).

Gabriel (dua dari kiri) menerangkan kejayaan yang dicapainya kepada hajiji (dua dari kanan).

“Sememangnya saya amat terharu kerana kejayaan ini diletakkan sebaris dengan atlet sukan lain yang lebih terkenal seperti Datuk Hassan Sani dan Datuk James Wong dalam acara bola sepak negara.

“Sesungguhnya penghargaan ini terlalu besar bagi diri dan keluarga saya kerana setiap generasi darlada keluarga saya pasti akan bangga dan menjadi dorongan kepada masyarakat untuk turut sama menjadi atlet terbaik Sabah”, ujarnya.

Tambahnya, penghargaan seperti ini suatu yang amat baik bagi menyuntik semangat anak Sabah untuk terus cemerlang di persada dunia sukan tanah air.

Gabriel turut meluahkan pandangan acara lempar cakera pada hari ini semakin berkembang dan terus mencipta rekod-rekod baharu tanah air.

Katanya, kejayaan atlet negara Muhammad Irfan Shamsuddin yang sering berjaya memperbaharu rekod lemparan merupakan suatu yang luar biasa.

“Walaupun Irfan tidak berjaya mencipta rekod baharu pada temasya sukan Sea tahun ini dengan catatan 58.36 meter berbanding rekod peribadinya yang pernah dicatatnya iaitu sejauh 62.55 meter di kejohanan olahraga Austrian top meeting 2017 di Linz, Austria tetapi cukup membanggakan kerana berjaya memberikan pingat emas kepada negara.

“Kejayaan ini sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dan jaguh terkuat di rantau asia dan kejayaan ini wajar diteruskan,” jelasnya.

Menyentuh perkembangan acara lempar cakera di Sabah beliau masih mengharapkan akan ada generasi pelapis anak Sabah memecahkan rekodnya.

“Ketika ini untuk Sabah, rekod ini masih bertahan tetapi untuk kebangsaan rekod ini hanya bertahan selama 14 tahun sebelum atlet Sarawak, Ngu Kit Min memperbaharui rekod pada 2003.

Jelasnya lagi, semua pihak yang terlibat dalam pembangunan acara sukan lempar cakera di negeri ini wajar duduk semeja, persatuan, bekas atlet dan juga kementerian perlu mencari cara dan kaedah baharu menaikkan sukan ini di Sabah.

“Jika setiap individu, persatuan, bekas atlet dan kementerian bergabung kembali saya yakin bahawa sabah mampu melahirkan atlit lempar cakera terbaik masa akan datang”, luahnya semasa ditemui pada Majlis Perasmian Pameran Negaraku Malaysia, Sabah Tanah Airku bersempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sabah di sini pada Khamis.

Sementara itu, seorang lagi bekas atlet terbaik Sabah dalam acara olahraga, Mohd Farid Govind Abdullah@ Peter Govind berkata merasa cukup bangga dengan pengiktirafan yang diberikan oleh kerjaan negeri melalui Jabatan Arkib ini.

Mohd Farid bersama isteri turut terharu dengan pengiktirafan dan penghargaan yang diberi.

Mohd Farid bersama isteri turut terharu dengan pengiktirafan dan penghargaan yang diberi.

“Saya tidak menyangka bahawa sambutan hari kebangsaan tahun ini merupakan sambutan yang cukup bererti bagi saya dan keluarga apabila segala pengorbanan mengharumkan nama negara khususnya Sabah dihargai kerajaan negeri.

“Sejujurnya saya cukup terharu dengan penghargaan ini kerana bagi saya pengorbanan ini pastinya akan terus dikenang dari generasi ke generasi akan datang,” ujarnya.

Anak kelahiran Kampung Tatabuan, Beluran ini mula berkecimpung dalam dunia sukan olaraga sejak bangku sekolah dan mula mewakili Sabah seusia 17 tahun dalam sukan borneo sebelum terpilih mewakili negara di peringkat antarabangsa bagi kategori veteran sekitar 1987.

Kejayaan manis sepanjang penglibatan beliau dalam acara olaraga apabila berjaya memberikan pingat gangsa kepada negara dalam acara larian 1,500 meter pada temasya Sukan Sea 1972 di Kuala Lumpur.

Harapannya semoga kejayaan ini mampu memberi suntikan kepada para atlit muda hari ini untuk terus berjuang dan berusaha memberikan yang terbaik kepada negara.

Pameran ‘Negaraku Malaysia, Sabah Tanah Airku’ yang dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2017, Datuk Seri Hajiji Noor di Suria Sabah Shopping Mall pada petang khamis.

Pameran lebih memberi informasi kepada masyarakat tentang peristiwa kemerdekaan Sabah dan perjuangan tokoh-tokoh sebagai usaha memupuk kesedaran masyarakat menghargai rekod warisan, kebudayaan dan etnik negeri ini.

Pameran yang berlangsung bermula 24 sehingga 31 Ogos ini memaparkan pelbagai informasi peristiwa, bangunan, tokoh, tempat dan sebagainya dalam bentuk fotografi, dokumentasi audio visual yang boleh ditatap oleh seluruh masyarakat di sabah.

Selain itu, beberapa aktiviti lain turut diadakan sepanjang pameran tersebut antaranya tayangan filem dokumentari sejarah ‘Kelahiran Malaysia’, Kuiz yang menawarkan pelbagai hadiah yang bakal dimenangi oleh pengunjung bertuah sepanjang pameran tersebut.

Terdahulu, Hajiji berkata melalui pameran ini orang ramai terutama generasi muda dapat mengetahui perjalanan serta mengenali para pemimpin serta tokoh di negeri ini.

“Pameran ini ialah salah satu program pengisian untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2017 dan saya yakin pameran ini dapat memberi pengetahuan kepada generasi baharu untuk memahami sejarah Sabah khasnya.

Jelasnya, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, pada tahun ini kita memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka yang telah menyumbang bakti kepada negara dalam pelbagai bidang.

“Antara tokoh sejarah yang terpilih ialah tokoh wanita, Datuk Zahra Ismail, tokoh sukan bola sepak, Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani serta pemegang Rekod Kebangsaan Lempar Cakera 1989-2003, Gabriel Moinjil,” jelasnya.

Pada majlis tersebut, tokoh-tokoh berkenaan menyerahkan koleksi peribadi mereka kepada Jabatan Arkib untuk disimpan dan direkodkan sebagai sumbangan kepada negara.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2017 turut memaklumkan persiapan sambutan Hari Kebangsaan kini hampir 100 peratus siap.

“Kita telah mengadakan mesyuarat terakhir dan saya dimaklumkan oleh jawatankuasa pelaksana, persiapan berjalan lancar dan bersedia untuk dilaksanakan pada 31 Ogos ini.

“Pada tahun ini, terdapat 190 kontijen mengambil bahagian dan kita anggarkan 15 hingga 20 ribu pengunjung akan menghadiri sambutan itu nanti,” ujarnya.

SF

Tinggalkan komen anda