
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto Farhan Abdullah
KEMAMAN, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – “Semoga warga kawasan Kemaman dapat mengambil langkah proaktif dengan mengibarkan bendera mulai hari ini sehingga merdeka kelak sekali gus dapat menggelorakan semangat patriotisme.”
Demikian ujar Ketua Konvoi, Mohd Fatkhul Hatta Robiki pada Majlis Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Negaraku (KMN) 2017 di Tapak Pasar Tani di sini pagi tadi.
Memasuki hari keempat, Konvoi Kembara Merdeka Negaraku (KMN) 2017 meneruskan perjalanan ke Terengganu sejauh 256km pagi ini.
Menurutnya, setelah tiga hari berkonvoi sejauh 337km melalui Negeri Sembilan dan Pahang, pada hari ini KMN akan melalui daerah-daerah di Terengganu.
“Kemaman merupakan destinasi kelapan KMN 2017 yang melibatkan 107 peserta konvoi termasuk 30 motosikal berkuasa tinggi, dan 17 buah kenderaan agensi kerajaan serta bukan kerajaan,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Rohani Abdullah berasa bangga kerana Kemaman terpilih antara 50 lokasi konvoi KMN 2017.
“Ketibaan konvoi bertepatan dengan Tahun Melawat Terengganu 2017. Seperti yang semua maklum, Kemaman merupakan pintu masuk utama Terengganu.
“Ada Kedai Kopi Hai Peng yang
terkenal sejak dahulu dengan keenakan kopinya yang dibuat sendiri oleh pemiliknya ditambah dengan kerangupan roti bakar, roti kaya dan roti tuna.
“Kemaman ini juga kaya dengan makanan berasaskan ikan. Bagi penggemar makanan laut pasti akan singgah di Kedai Aziz Satar untuk menikmati sata yang enak dan keropok lekor,” jelasnya.
Dalam pada itu, penduduk Kemaman, Firdhaus Ramlan, 32 berkata Kemaman dahulu merupakan pelabuhan nelayan tetapi sejak perkembangan industri minyak dan gas di Kerteh.
“Bukan sahaja pembangunan dirasai oleh warga Kemaman bahkan semakin ramai yang datang ke sini untuk bekerja.
“Pantai Kemasik, santuari penyu, air terjun, makanan seperti keropok dan merupakan antara punca ramai singgah ke sini.
Firdhaus turut menambah, masyrakat di Kemaman juga hidup harmoni.
“Kita nampak dari segi populasi Kemaman ni antara penduduk bukan Melayu yang teramai di Terengganu, selepas Kuala Terengganu.
“Di sekolah dahulu pun saya berkawan dengan orang bukan Melayu, tidak pernah ada masalah.
“Kedatangan KMN ni diharap membuka ruang kepada penduduk Kemaman untuk lebih bersemangat menyambut 60 tahun kemerdekaan negara kita,” ujarnya.
Selain Kemaman, Konvoi KMN 2017 di Terengganu pada hari ini akan melalui Dungun dan Kuala Terengganu.