
Β
Β Laporan dan Foto oleh : Mohd. Zahari Zakaria & Jamil Zainul (Permatang Pauh)
PERMATANG PAUH, 17 Ogos (Malaysiaaktif) β Sebuah Sekolah Menengah Agama (SMA) berasrama penuh dengan kos RM45 juta akan dibina di Permatang Pauh, di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hal berkenaan pada Majlis Jom Makan Bersila Beramai-ramai Bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.
Najib dalam ucapannya berkata pelbagai projek pembangunan telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan Permatang Pauh tidak ketinggalan.
Katanya, Permatang Pauh akan sentiasa mendapat perhatian kerajaan walaupun berada di bawah pimpinan yang lain dan masyarakat perlu memberi peluang kepada pemimpin yang mudah untuk bersama mereka apabila dalam kesusahan.
Majlis yang disertai oleh 21,380 penduduk Permatang Pauh ini turut dicatat dalam Malaysia Books of Record sebagai Jamuan Komuniti Terbesar.
Menurut penduduk tempatan, D. Dharmalingam, 58, kehadiran Perdana Menteri pada pagi ini menunjukkan kesungguhannya untuk bertemu dengan rakyat di sini tanpa mengira latar belakang dan taraf kerana bersila bersama-sama rakyat ketika makan tengahari tadi.
Sementara itu, seorang lagi penduduk tempatan, Noraini Ahmad, 50, berkata dia teruja kerana dapat melihat Perdana Menteri secara ‘live’ pada pagi ini, sekaligus menunjukkan bahawa beliau masih ingatkan Permatang Pauh.
Pada majlis yang sama, Najib turut menyampaikan sumbangan tablet kepada guru-guru, elaun sebanyak RM500 kepada bilal dan siak, sumbangan RM30 ribu kepada Persatuan Veteren ATM di parlimen Permatang Pauh dan penyampaian bendera kepada KEMAS.
Turut hadir, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Rizal Merican Naina Merican dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.
– AH