Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuanWilayah Persekutuan

Usaha Pemuliharaan Terumbu Karang Terbesar Masuk MBOR

By 8 Ogos 2017Tiada komen3 minit bacaan
Gambar utama: Ihsan JTLM Labuan
Gambar utama: Ihsan JTLM Labuan
Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian

LABUAN, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – “Kita lihat kesedaran bagi memelihara ekosistem terumbu karang ini masih kurang dalam kalangan masyarakat kita, justeru melalui usaha dan program ini dapatlah mendidik serta memberikan maklumat kepada warga Labuan tentang pentingnya menjaga kebersihan pantai daripada sampah sarap yang merupakan salah satu faktor mengganggu keselamatan terumbu karang ini.”

Wakil The Malaysia Book Of Records (MBOR), Juniaddi Ag Tuah berkata demikian ketika menghadiri Program Pengiktirafan Restorasi Karang Dalam Malaysia Book of Records di Taman Laut (TL) Pusat Rusukan Besar, di sini, anjuran Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM), semalam.

“Saya berharap agar JTLM dapat mengadakan lebih banyak lagi program kesedaran serta ceramah mengenai penjagaan ekosistem terumbu karang ini kepada masyarakat,” ujar Juniaddi lagi yang juga merupakan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan.

Wakil The Malaysia Book Of Record, Juniaddi Ag Tuah

Wakil The Malaysia Book Of Record, Juniaddi Ag Tuah.

TL Pulau Rusukan Besar terpilih sebagai salah satu daripada enam buah Pusat Taman Laut (PTL) bagi program pengiktirafan ini yang dijalankan serentak di kesemua enam PTL, semalam.

Menurut Pengarah Jabatan Taman Laut Labuan, Anuar Deraman, program tersebut di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) untuk menjana semula kawasan terumbu karang yang telah mengalami kerosakan kepada keadaan yang hampir semula jadi.

Pengarah Jabatan Taman Laut Labuan, Anuar Deraman.

Pengarah Jabatan Taman Laut Labuan, Anuar Deraman.

“Sempena sambutan 10 tahun JTLM dan sambutan Hari Laut Sedunia 2017, Ketua Pengarah kami, Datuk Dr. Sukarno Wagiman mencadangkan agar Program Restorasi Karang – ‘Largest Simultaneous Coral Planting Event’ ini bagi mencatat sejarah dalam ‘The Malaysia Book Of Records’ dapat direalisasikan.

“TL Wilayah Persekutuan Labuan amat bertuah kerana terpilih bersama-sama dengan lima PTL yang lain iaitu PTL Redang, PTL Perhentian di Terengganu; PTL Tioman di Pahang; PTL Tinggi di Johor serta PTL Payar di Kedah bagi program ini melibatkan penanaman Nubbin (benih batu karang) sebanyak 7,200 nubbin bagi kesemua PTL yang terlibat.

Struktur kerangka PVC atau ‘frame’ yang disediakan bagi menanam atau menampal nubbin atau anak benih batu karang.

Struktur kerangka PVC atau ‘frame’ yang disediakan bagi menanam atau menampal nubbin atau anak benih batu karang.

“Di TL Labuan ini, seramai 19 penyelam dasar laut terlibat dalam menanam atau melekatkan 600 nubbin ini di 10 struktur kerangka PVC atau ‘frame’ yang disediakan bagi langkah pemuliharaan ekosistem terumbu karang di perairan ini,” jelas Anuar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Azhar Ahmad, yang merasmikan program tersebut berkata ini merupakan platform terbaik bagi memupuk kesedaran khususnya kepada golongan belia di pulau ini agar menghargai dan memelihara ekosistem terumbu karang yang semakin terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Azhar Ahmad (dua dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Juniaddi, salah seorang staf Perbadanan Labuan dan Anuar.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Azhar Ahmad (dua dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Timbalannya, Rithuan Mohd Ismail (dua dari kanan), Juniaddi dan Anuar.

“Saya berharap agar kesedaran tersebut dapat disemai kerana memelihara ekosistem terumbu karang amat penting terutamanya dalam mengekalkan kehidupan marin yang teratur di perairan laut kita,” tambahnya.

Dalam pada itu, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Norfazliana Abdul Latiff, 21, berpendapat program ini adalah salah satu usaha murni JTLM dalam memelihara dan memulihara terumbu karang di perairan Pulau Rusukan yang pastinya memberi tarikan kepada para pelancong luar untuk datang ke Taman Laut tersebut.

Norfazliana Abdul Latiff

Norfazliana Abdul Latiff

“Ini kerana negara kita amat terkenal dengan keindahan terumbu karangnya yang menjadi sebutan para pengemar ‘scuba diving’ dari luar negara yang sering memuji keindahan marin kita terutamanya di Pulau Sipadan,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Antarabangsa.

Manakala, bagi seorang lagi pelajar UMS, Farah Ain Danis, 22, dia mencadangkan agar JTLM menubuhkan Kelab Sahabat Alam Sekitar bagi menjaga kehidupan marin terutamanya terumbu karang.

Farah Ain Danis

Farah Ain Danis

“Khususnya bagi para pelajar IPTA yang mana kesedaran dalam kalangan mereka dalam menjaga kehidupan terumbu karang dapat disemarakkan untuk diwariskan kepada anak cucu mereka nanti,” jelas pelajar jurusan Kewangan Islam itu.

Pada akhir Program Pengiktirafan Restorasi Karang tersebut, sejumlah 8,300 nubbin berjaya dicatatkan ditanam di kesemua enam PTL yang terlibat. Jumlah tersebut melebihi sasaran asal iaitu sebanyak 7,200 nubbin bagi dicatatkan di dalam ‘The Malaysia Book Of Records’.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda