Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuanWilayah Persekutuan

103 Penjaja Pasar Sentral Labuan Jadi Rakan Dagang Kad Ceria

By 9 September 2017September 11th, 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian

LABUAN, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 103 penjaja Pasar Sentral Labuan yang menjual pelbagai jenis produk seperti sayur-sayuran, hasil kampung, buah-buahan dan barangan kering kini menjadi Rakan Dagang bagi Program Kad Ceria Wilayah yang telah bermula sejak Jun lalu.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan (PL), Mohd Zamri Mohd Esa, penyertaan seramai 103 orang penjaja tersebut mampu mengurangkan kos bebanan hidup terutamanya golongan yang berpendapatan rendah di Labuan ini.

“Lebih-lebih lagi bagi mendapatkan barangan keperluan dapur dan makanan mentah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Manfaat tersebut akan dirasai oleh seramai 26 ribu pemegang Kad Ceria di Pulau Labuan ini yang rata-ratanya merupakan golongan B40 iaitu golongan berpendapatan sederhana dan rendah,” ujarnya ketika berucap pada sesi ‘Engagement’ bersama rakan dagang tersebut di Menara PL, malam semalam.

Zamri juga optimis bahawa PL akan memastikan suasana menang-menang akan sama-sama dirasai oleh pemegang Kad Ceria dan rakan dagang bagi memastikan objektifnya tercapai.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Jabatan Sosio Ekonomi PL, Salmah Beddu, melalui ‘engagement’ ini, segala permasalahan dapat diutarakan oleh para rakan dagang dan di waktu yang sama mencari mekanisme terbaik bagi penambahbaikan serta kelancaran penggunaan Kad Ceria oleh warga Labuan.

“Sebagai manfaat menyertai program Kad Ceria sebagai rakan dagang, kesemua 103 penjaja ini akan menerima diskaun 50 peratus ketika memperbaharui lesen premis perniagaan pasar,” jelasnya.

Yap (kiri sekali), Karen (tengah) dan Mariam (kanan sekali) bangga menunjukkan sijil penghargaan rakan dagang yang diterima.

Yap (kiri), Karen (tengah) dan Mariam (kanan) bangga menunjukkan sijil penghargaan rakan dagang yang diterima.

Bagi salah seorang rakan dagang baharu di Pasar Sentral Labuan, Mariam Sarif Amiril, 56, dia berasa bangga menjadi rakan dagang kerana dapat bersama-sama membantu pihak kerajaan dalam menawarkan harga barangan yang berpatutan khususnya bahan makanan mentah yang semakin meningkat kebelakangan ini.

“Saya akui, harga barangan makanan saya sendiri semakin meningkat oleh sebab para pemborong menjualkannya pada harga yang agak tinggi,” katanya yang merupakan penjaja sayur-sayuran.

Mariam yang mendapatkan bekalan sayur-sayuran dari Sabah beranggapan faktor kos pengangkutan mungkin menjadi salah satu punca kenaikan harga.

Yap (kiri) menerima sijil penghargaan daripada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan (PL), Mohd Zamri Mohd Esa.

Yap (kiri) menerima sijil penghargaan daripada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan (PL), Mohd Zamri Mohd Esa.

Bagi pasangan suami isteri Yap Peng, 29 dan Karen Paulinus, 23, yang juga penjaja di pasar tersebut, mereka mengharapkan agar PL dapat memantau dan menambah baik sistem penggunaan Kad Ceria.

“Terutamanya bagi tujuan rekod penggunaan Kad Ceria tersebut oleh para pemegangnya setelah membeli barangan dari penjaja,” jelas Yap Peng.

Karen turut optimis pelaksanaan Kad Ceria ini akan sentiasa ditambah baik oleh pihak kerajaan bagi memaksimumkan manfaat yang diterima oleh rakyat melalui kad tersebut.

Diskaun sebanyak tiga hingga 30 peratus ditawarkan oleh rakan dagang penjaja pasar tersebut kepada pemegang Kad Ceria di Wilayah Persekutuan Labuan semasa membeli produk mereka.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Sosio Ekonomi PL, Helmi Bali dan Ketua Pejabat Perkhidmatan Masyarakat Kawasan Parlimen Labuan, Basran Yunus.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda