
Laporan: Zuraidah Ahmad / Foto: Saiful Rahman Sabri (Sabah)
SANDAKAN, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Diam dan mengelak lensa kamera, anak sulung daripada 11 beradik yatim, Siti Aloyah Serudin, 27, kelihatan seakan-akan menyembunyikan sesuatu.
Namun setelah dipujuk Biro Agama Yayasan Nur Jauhar (YNJ), Zaloha Ahmad, akhirnya Siti Aloyah mula bercerita dengan nada perlahan.
“Arwah mama sudah pesan jangan meminta- minta walaupun susah, nanti orang pandang hina dengan kita.
“Saya sedih kalau orang mengata adik-adik saya, kerana kami sangat miskin dan yatim,” ucapnya dengan mata yang bergenang.
Dia telah berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata, tetapi masih memikul tanggungjawab menjaga lapan adik seibu sebapa dan dua adik seibu.
“Sejak bapa meninggal dunia, saya tinggal dengan mama bersama lapan adik – beradik dan hidup ibarat kais pagi makan pagi.
“Kesempitan hidup membuatkan arwah mama mengahwini warga negara Indonesia dan dikurniakan dua anak dengan harapan dapat menumpang teduh.
“Namun, perkahwinan itu tidak kekal dan bapa baharu kami telah meninggalkan kami dan balik ke Indonesia. Jadi, kehidupan kami kembali seperti asal.
“Pada Mac tahun ini, mama pula telah meninggalkan kami buat selama-lamanya dan kini kami sudah tiada sesiapa lagi, hidup pun hanya menumpang di rumah dan tanah orang,” kisahnya.
Siti Aloyah bersyukur dan merakam penghargaan kepada isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Norlidah Tan Sri R.M Jasni yang bertandang ke rumahnya dan memberi kata-kata semangat, pada Khamis.
Toh Puan Norlidah yang juga Penasihat Yayasan Nur Jauhar menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan dapur, wang tunai dan makanan ringan di Kg Karamunting Baru, 7 kilometer dari bandar.