Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Kem Aspirasi Kelab 1Malaysia Pupuk Perpaduan

By 21 September 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Tanggamal Balasundram (Kuala Langat)

KUALA LANGAT, 21 Sept (Malaysiaaktif) – Seramai 60 ahli Kelab 1Malaysia negeri Selangor yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik menyertai Kem Aspirasi Kelab 1Malaysia di Kem Al -Ezzahar Morib, di sini.

Pelbagai pengisian program dijalankan selama tiga hari dua malam bermula dari 19 September hingga hari ini dalam membina jati diri dan perpaduan dalam kalangan pelajar.

Pelajar Terbaik Kem Aspirasi, Muhamad Zairul Iman Sabaruddin 17, berkata banyak pengalaman yang diperoleh daripada kem ini.

“Sebelum ini mungkin takut dan gementar tetapi kini saya rasa semakin yakin dengan diri sendiri. Sekiranya dapat peluang ingin lagi mengikut kem ini di masa akan datang,” kata pelajar dari Sekolah Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz Shah Kajang ini.

Pelajar Terbaik Kem Aspirasi, Muhamad Zairul Iman Sabaruddin.

Pelajar Terbaik Kem Aspirasi, Muhamad Zairul Iman Sabaruddin

Seorang lagi peserta kem, Tee jia Yen, 16, berkata “Kem ini memberi kesedaran bahawa kita harus bersatu untuk mendapatkan kejayaan, jika kita usaha pasti dapat kejayaan pada masa depan.”

Sementara itu, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jenjarom, Thayalan Sarawanan berkata dia tidak menyangka bahawa kem ini dapat menginsafkannya yang selalu merendah diri.

“Kini saya yakin dapat berlumba dengan kawan-kawan lain untuk mencapai matlamat saya,” kata Thayalan.

Peserta kem dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jenjarom, Thayalan Sarawanan

Peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jenjarom, Thayalan Sarawanan

Kem ini turut diserikan dengan kehadiran bekas pemain badminton kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek yang berkongsi pengalaman dan memberi semangat serta inspirasi kepada para peserta.

“Perlu pandai bahagikan masa, perlu kerja lebih tanpa penat dan tanpa merungut. Jika ingin berjaya harus kerja keras untuk mendekatkan dengan pemain-pemain yang telah berjaya,” kata Jalani ketika mengulas tentan pembahagian masa antara sukan dan sekolah.

Jalani turut menasihatkan peserta-peserta kem supaya mengambil input yang baik daripada kem ini.

“Jangan cepat putus asa, jika berani usaha dan kerja bersungguh-sungguh maka kejayaan sudah pasti dicapai,” katanya lagi.

Tambahnya, jika ingin berjaya para pelajar perlu membahagiakan ibu bapa kerana doa ibu bapa adalah kunci pembawa kejayaan.

WhatsApp Image 2017-09-21 at 8.13.08 PM

Dalam pada itu, majlis penutup Kem Aspirasi Kelab 1Malaysia ini telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Selangor, Wan Ahmad Nizam Wan Latif.

Menurut Wan Ahmad, di Selangor terdapat 55 sekolah yang mempunyai Kelab 1Malaysia dan kelab ini berperanan membantu untuk menyebarkan maklumat, menterjemah serta mewujudkan perkongsian pintar antara pelajar.

Tambahnya, kem ini dilihat dapat memupuk semangat patriotisme, perpaduan dan nilai-nilai murni melalui gaya hidup berkualiti, selain memupuk budaya jati diri bangsa yang setia, berani serta sanggup berkorban untuk negara.

Kem yang merupakan program tahunan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Selangor ini adalah kegiatan kokurikulum yang ditubuhkan secara perkongsian pintar bersama Kementerian Pendidikan Malaysia di sekolah-sekolah menengah.

– AH

Tinggalkan komen anda