Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pesta Kalimaran Perkenal Sukan Tradisi Etnik Murut

By 27 September 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan & foto: Wenny D.

KENINGAU, 27 Sep (Malaysiaaktif) – Pesta Budaya atau dalam bahasa Murut Sabah dikenali sebagai ‘Kalimaran’ merupakan platform penyambung warisan budaya sukan tradisional suku kaum Murut di Sabah.

Pesta tahunan yang dirayakan setiap tahun ini penting sebagai suatu acara yang mendedahkan generasi muda hari ini terhadap aspek budaya dalam kalangan etnik Murut itu sendiri.

Pengerusi penganjur sukan tradisional sempena Pesta berkenaan di peringkat Daerah Kecil Sook, Tony Talasoy berkata, sebanyak enam mukim terlibat dalam menjayakan pesta tersebut bagi peringkat daerah kecil Sook.

Para peserta sedang menunjukkan kemahiran menyumpit pada pesta tersebut.

Para peserta sedang menunjukkan kemahiran menyumpit.

“Antaranya ialah Mukim Dalit, Mukim Seberang, Mukim Sook, Mukim lanas, Mukim Tulid dan Mukim Ansip.

Jelasnya lagi, pertandingan sukan ini merupakan wadah untuk suku kaum Murut di daerah tersebut mengetengahkan budaya kehidupan melalui acara sukan tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun sebagai tatapan kepada generasi muda kini.

“Sebagai contoh suatu ketika dahulu, menyumpit merupakan kemahiran memburu yang penting untuk seorang anak lelaki mencari makanan sehingga kemahiran ini turut dijadikan aktiviti penting yang sangat popular terutama ketika majlis keramaian.

“Namun hari ini, individu yang mahir menyumpit semakin berkurangan disebabkan faktor kemajuan teknologi yang semakin pesat.

“Sehubungan itu, melalui sambutan pesta Kalimaran inilah kembali dihidupkan sebagai penyambung warisan kemahiran tersebut dalam kalangan remaja dan belia hari ini”, ujarnya.

Bagi acara kemahiran menyumpit yang diadakan di Padang Sekolah Kebangsaan Biah pada Sabtu Mukim Dalit berjaya muncul juara.

Senjata sumpit atau dalam bahasa Murut ‘Ansapuk‘ merupakan salah satu peralatan penting dalam amalan tradisi suku kaum tersebut dalam aktiviti memburu mahupun berperang mempertahankan kawasan mereka di pedalaman Sabah.

Sementara itu, penduduk Casmir Silip, 46, berkata, aktiviti menyumpit ini selain dijadikan acara sukan keramaian, sumpitan itu juga mempunyai harga atau nilai yang tinggi dalam adat upacara perkahwinan suku kaum Murut iaitu adat ‘barian sampai mati’.

Jelasnya lagi, bagi menghasilkan laras sumpit yang baik, orang Murut menggunakan ‘Kayu Balian’ atau dipanggil ‘Tahas’  sepanjang kira-kira dua meter.

Casmir turut berkata selain kemahiran menyumpit, kemahiran memarut ubi kayu juga penting terutama bagi kalangan wanita Murut.

Kemahiran memarut ubi kayu juga merupakan suatu kemahiran yang semakin dilupai anak muda hari ini dan lebih bermakna juara memarut dimenangi oleh seorang warga emas Ramilah Andamol, 59 yang berjaya mengalahkan rakan ibu lain pada pertandingan tersebut.

Ramilah menunjukkan kemahiran memarut yang masih dimiliknya.

Ramilah menunjukkan kemahiran memarut yang masih dimiliknya.

Bak kata orang pengalaman merupakan aset berharga dan lama tidak memarut bukan bererti tidak mahir tapi kebolehan yang tersimpan erat dalam diri Ramilah dan dengan kemenangan tersebut turut mengangkat Mukim Ansip sebagai johan bagi kategori berpasukan wanita dalam acara tersebut.

Mengikut pemahaman suku kaum tersebu, kemahiran memarut ubi kayu ‘ansit ramundok‘ (ilui) ini merupakan salah satu lagi kemahiran wajib dalam kalangan wanita.

Dalam pada itu, Ramilah berkata dia sangat teruja menyertai pertandingan sukan rakyat kali ini bukan kerana memarut itu mudah tetapi pesta tersebut merupakan julung kali diadakan di kawasan tersebut.

“Memarut ubi kayu ini tidaklah sukar berbanding dulu kami guna alat khas yang kini sudah tiada jadi saya pada mulanya sekadar suka-suka saja tetapi tidak pula sangka boleh menang,” katanya.

Acara memarut ini mengkehendaki peserta menghasilkan parutan ubi yang banyak dalam tempoh masa dua minit sebelum ditimbang beratnya untuk menentukan pemenang.

Acara tarik tali lelaki

Acara tarik tali lelaki

Turut diadakan tarik tali lelaki, melastik botol lelaki, boling padang kelapa wanita dan pertandingan mewarna pakaian tradisional kanak-kanak.

-SF

Tinggalkan komen anda