
Laporan: Yahya Abdul Rajak / Foto: Abdullah Sani Ariff Lokhman (Sabah)
TAWAU, 26 Okt (Malaysiaktif) – Pelaksanaan program Menghubung dan Menyatu (CTU) di Kampung Inderasabah di sini pada Sabtu disambut gembira para nelayan yang mengusahakan produk ikan bilis.
Pelaksanaan program terbabit membolehkan kampung berkenaan menikmati kemudahan talian Internet serta siaran televisyen yang lebih baik dan pantas.
Pemilihan kampung tersebut sebagai salah satu lokasi pembinaan sebuah menara pemancar telekomunikasi membawa kepada suatu perasaan gembira terutama kalangan nelayan dan pengusaha produk ikan bilis.
Ketua Kampung Inderasabah, Abit Sulaiman berkata pembinaan menara terbabit sememangnya menggembirakan kami sebagai penduduk kampung di sini kerana berpeluang menikmati kemudahan talian Internet yang ketika ini menjadi keperluan semasa.
“Terima kasih kepada semua pihak yang memilih kampung ini bagi menempatkan sebuah pemancar telekomunikasi sebagai usaha menghubungkan masyarakat luar bandar dengan dunia maklumat terkini.
Tambahnya, kemudahan ini bukan sahaja membolehkan mereka mengetahui banyak perkara terhadap perkembangan semasa negara malah turut berpeluang meningkatkan hasil pendapatan penduduk kampung yang secara puratanya 65 peratus ialah nelayan.
Selaku Pengerusi Komuniti 1Malaysia kampung berkenaan Abit turut menyatakan ketika ini para pengusaha produk ikan bilis di kampung terbabit sedang bekerjasama dengan pejabat peladang daerah bagi melakukan penghantaran produk berkenaan sebanyak lima tan ke Semenanjung.
Jelasnya, peningkatan ini amat baik dan mampu menjadikan kampung berkenaan sebagai pengeluar produk ikan bilis bukan sahaja untuk daerah Tawau malah untuk seluruh Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Kemampuan nelayan dan pengusaha produk tersebut di kampung ini membolehkan anggaran pendapatan seminggu jualan produk ini mampu memcecah sehingga lebih RM20 ribu.
“Anggaran ini berasaskan kepada penjualan pukal secara berpusat iaitu hasil yang dikumpul daripada semua hasil bagang daripada nelayan di kampung ini,” ujarnya.
Abit turut menjelaskan konsep pukal atau kerjasama daripada penduduk kampung hingga membawa kampung berkenaan semakin dikenali sebagai pengeluar ikan bilis selain sebagai sumber pendapatan penduduk.
Katanya, kejayaan memperoleh hasil sehingga puluan ribu ini ialah hasil bersama terutamanya suri rumah apabila setiap isi rumah di kampung berkenaan berpeluang menyumbang kepada kemajuan penghasilan produk ikan bilis.
Tambahnya, seramai lebih100 nelayan memiliki bagang bagi usaha penangkapan ikan bilis. Hasil daripada setiap bagang berkenaan akan dikumpul untuk diproses sebelum dipasarkan.
“Hasil setiap bagang bergantung kekadang ada yang peroleh 50 kilogram, kekadang ada yang mencecah hingga ratusan kilogram.
Jelasnya lagi, setiap hasil bagang ini dikumpul dan ditimbang dan dibayar kepada nelayan terbabit mengikut berat yang diperolehi, proses seterusnya selepas melalui pengasingan ikan bilis terbabit akan dihantar ke rumah-rumah penduduk kampung yang ingin memperoleh pendapatan tambahan bagi proses pembersihan atau pengeringan.
“Konsep ini membolehkan kalangan suri rumah di kampung berkenaan berpeluang meraih pendapatan anggaran sekitar RM2 hingga RM2.50 sekilo bilis yang berjaya dibersihkan.
“Purata setiap seisi rumah mampu membersihkan sehingga 500 kilo sebulan dan ini tentunya memberi pendapatan sampingan yang lumayan kepada keluarga terbabit,” katanya.
Abit menjelaskan lagi, pelaksanaan program CTU ini banyak memberi impak kepada peningkatan jualan ikan bilis disebabkan pengusaha semakin mudah memasarkan produk tersebut.
“Peningkatan ini secara tidak langsung membolehkan setiap isi rumah memiliki pendapatan yang lumayan dan ini ialah matlamat kami untuk melihat penduduk di kampung ini sentiasa bekerjasama meningkatkan lagi pendapatan bersama,” jelas Abit.
Sementara itu, seorang pengusaha produk ikan bilis, Abdul Rahman@Tahan, 45, berkata selama ini mereka terpaksa menjual hasil tangkapan bilis kami ke pusat bandar serta mempromosikannya dari gerai ke gerai selain menjualnya di pasar-pasar tamu sekitar daerah Tawau.
“Sekarang dengan adanya menara ini yang mula beroperasi awal tahun ini membolehkan kami berhubung dengan para pembeli dengan lebih mudah sama ada tempahan melalui telefon atau Whatsapp.
Katanya lagi, dalam tempoh terdekat dia akan melakukan pemasaran produk ikan bilis yang diusahakannya ini melalui tempahan menerusi talian Internet sebagai usaha mempelbagaikan jualan kepada pembeli.
“Saya berharap akan berlaku peningkatan hasil jualan menggunakan promosi dalam talian ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman tidak menafikan bahawa sejak kampung berkenaan mula menikmati kemudahan telekomunikasi yang membolehkan mereka dihubungi dengan lebih baik membawa perubahan ketara terutama terhadap sambutan produk ikan bilis kampung berkenaan.
Katanya, tahun ini segala urusan jual beli ikan bilis semakin mudah dan hasil jualan turut meningkat berikutan menerima tempahan terutama daripada Whatsapp.
“Dianggarkan tempahan yang diperoleh semakin bertambah daripada nilai tempahan dua hingga 3000 meningkat kepada 5000 ke 6000 kilogram sebulan.
Tambahanya, peningkatan tempahan ini secara tidak langsung memberi pulangan lumayan sebulan dengan anggaran RM5000 hingga RM6000 sebulan bergantung kepada keadaan cuaca.
-SF