Skip to main content
Berita TempatanSabah

Politeknik KK, Konsorsium MANUSEA Jalin Kerjasama Antarabangsa

By 26 Oktober 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto: Siti Mariam Aziz Rashid (Sabah)

KOTA KINABALU, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Kunjungan diplomatik delegasi Konsorsium Mahakarya Nusantara Serumpun Asia (MANUSEA), Negeri Medan ke Politeknik Kota Kinabalu (PKK) di sini pada Rabu berjaya mengeratkan hubungan dan menjalin kerjasama antara dua pihak dalam pelbagai bidang ilmiah.

Seramai tujuh pensyarah kanan daripada pelbagai badan dan institusi pendidikan tinggi Negeri Medan yang  bergabung dalam konsorsium menyertai lawatan sulung delegasi tersebut ke PKK selama lima hari.

Pengarah PKK , Zainab Othman berkata pelaksanaan Bengkel Design Thinking merupakan antara platform bagi merealisasikan kerjasama antara Politeknik Kota Kinabalu dengan Konsorsium MANUSEA, Medan Indonesia.

“Bengkel Design Thinking ini mendedahkan para peserta bengkel sepenuhnya tentang kaedah untuk menghubungkan kreativiti kendiri, menghasilkan idea dan strategi inovatif bagi membantu mengenal pasti serta mencari penyelesaian masalah, seterusnya mencipta peluang baharu dalam bidang masing-masing,” kata Zainab.

Zainab (tiga dari kiri) mengetuai rombongan PKK dan delegasi Medan sempena lawatan ke Sekolah Indonesia Kota Kinabalu.

Zainab (tiga dari kiri) mengetuai rombongan PKK dan delegasi Medan sempena lawatan ke Sekolah Indonesia Kota Kinabalu.

Katannya lagi, pengukuhan jaringan dan pengantarabangsaan ini dapat dicapai melalui kolaborasi penyelidikan, penawaran program yang relevan dan pembangunan latihan yang sistematik.

“PKK menyambut baik dan bersedia memberi kerjasama melaksanakan program bersama Konsorsium MANUSEA dalam bidang akademik dan kokurikulum.

“Kerjasama ini meliputi aktiviti pertukaran pelajar dan pensyarah, lawatan penanda aras, penglibatan kedua-dua belah pihak dalam menjalankan penyelidikan dan inovasi, menganjurkan seminar, kejohanan sukan dan khidmat tanggungjawab social,” tambah Zainab.

Delegasi melibatkan Ketua Jabatan dan pensyarah Politeknik Negeri Medan, Politeknik Negeri Media Kreatif, Universitas Pembangunan Panca Budi Medan dan Badan Pengawas Sekolah Indonesia.

Dalam pada itu, Ketua Delegasi yang juga Ketua Unit Penjaminan Mutu, Politeknik Negeri Medan Abdul Rahman, berharap kerjasama antara PKK dan Konsorsium MANUSEA perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

“Jalinan kerjasama ini diharap akan berterusan dan saya berharap lebih banyak kerjasama strategik dapat dilaksanakan pada masa akan datang bagi membolehkan peluang, maklumat, pendedahan dan perkembangan pendidikan tinggi antara kedua-dua negara dipertingkat,”  kata Abdul Rahman.

Turut diadakan sesi dialog bersama Ahli Mesyuarat Pengurusan Politeknik Kota Kinabalu sebagai proses pertukar maklumat tentang pengurusan organisasi serta maklumat berkaitan aktiviti yang dijalankan di institusi masing-masing.

Konsorsium Mahakarya Nusantara Serumpun Asia ini merupakan pertubuhan gabungan badan dan institusi pendidikan tinggi di Indonesia yang ditubuhkan sejak November 2015 yang berperanan melaksanakan aktiviti pendidikan yang menyumbang kepada pembangunan modal insan di Indonesia, khususnya di Negeri Medan.

Sehingga hari ini, MANUSEA dianggotai oleh empatbelas institusi pendidikan tinggi termasuk Politeknik Tuanku Syed Sirahuddin (PTSS), Perlis, Malaysia yang telah menandatangani jalinan kerjasama bersama MANUSEA pada 6 Mac 2017.

-SF

Tinggalkan komen anda