Skip to main content
Berita TempatanSabah

Berhujan, Berlumpur Demi Hendap Burung

By 3 November 2017Julai 25th, 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KENINGAU, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Seronok melihat ragam para jurufoto yang bersungguh-sungguh untuk membidik foto 10 ekor burung bagi memenuhi syarat pertandingan yang dianjurkan Borneo Bird Festival.

Kesungguhan dan rasa teruja itu dapat dirasai seawal 4.00 pagi apabila lebih 70  jurufoto berkumpul di Kota Kinabalu menuju ke Taman Banjaran Crocker, Keningau bagi memenuhi lapan jam cabaran.

Peserta yang dibahagikan kepada 15 kumpulan datang dari Brunei, USA, Ulu Selangor, Kuching dan peserta tempatan berserta 30 orang pelajar daripada dua buah sekolah.

Gelagat peserta dari Indonesia dan Selangor.

Gelagat peserta dari Indonesia dan Selangor.

Jurufoto, Jesus Cede Prudente, 54 berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila dia cuba untuk merakam foto Giant Pitta ketika berada di Lembah Danum.

“Giant Pitta ialah sejenis burung yang pemalu, kerana teruja melihat kelibatnya, saya merangkak di dataran yang berlumpur akibat hujan yang kebetulan turun pada malam itu.

“Keadaan yang sangat berlumpur itu memang sangat mencabar apatah lagi ditemani oleh akar-akar pokok dan lintah yang banyak.

“Burung pitta itu pula mendarat di tanah dan saya mengambil masa kira-kira sejam untuk mengambil gambar yang terbaik,” ujar Cede yang juga seorang pengkaji tumbuhan dan haiwan.

Cede(kanan) memberi penerangan mengenai peralatan yang digunakan untuk merakam burung.

Cede (kanan) memberi penerangan mengenai peralatan yang digunakan untuk merakam burung.

Cede terlibat dalam aktiviti memerhati burung dan juga menjadi jurufoto hidupan liar sejak 1990-an dengan menggunakan kamera pertamanya iaitu Nikon FM2 dan binokular Nikon.

Jelasnya, cabaran yang dihadapi setiap kali turun padang untuk mengambil gambar hidupan liar ialah kesukaran untuk meramal apa yang akan kita temui.

“Walaupun kita ada spesies sasaran dan tahu di mana lokasi mereka, kemungkinan spesies ini tidak ditemui di sana berikutan beberapa faktor seperti sedang mencari makanan atau diburu pemangsa.

“Faktor cuaca juga perlu diambil kira, keadaan yang mendung sangat bagus untuk fotografi yang membawa maksud keadaan selepas hujan adalah terbaik untuk memerhati burung.

“Musim buah ialah musim yang paling mudah untuk mencari burung dan hidupan liar, terutama sekali apabila pokok ara mula berbuah,” katanya.

Cede juga pernah bertembung dengan spesies burung yang paling jarang ditemui iaitu Bulwer’s Pheasant semasa berada di Maliau Basin, namun dia tidak sempat untuk merakam gambar kerana tergamam ketika burung tersebut terbang di hadapan kenderaan yang dipandunya.

Dia turut berkongsi tip kepada mereka yang ingin berjinak-jinak menjadi pemerhati atau merakam gambar burung.

“Sebelum melakukan aktiviti memerhati burung, sediakan binokular, dapatkan buku risalah tentang Birds in Borneo, gunakan pakaian yang bersesuaian seperti kasut, seluar dan baju berwarna gelap juga sertai kumpulan atau kelab pemerhati burung.

“Tip sebelum merakam gambar pula, bawa bersama kamera dengan lensa yang boleh merakam hingga 400mm menggunakan kamera DSLR dan ziarahlah taman dan hutan yang berhampiran,” jelasnya.

Merujuk nota yang diberikan bagi mengenal pasti gambar burung yang dapat dirakam.

Merujuk nota yang diberikan bagi mengenal pasti gambar burung yang dapat dirakam.

Sementara itu, Presiden Kelab Burung Borneo, Gary Albert, 46, berkata Banjaran Crocker memang sudah lama menjadi tarikan pemerhati burung, sama ada daripada warga tempatan atau pun antarabangsa walau tidak sepopular seperti Taman Kinabalu.

Menurutnya, terdapat 680 spesies burung  keseluruhannya yang boleh ditemui di Pulau Borneo dan 67 spesies pula ialah endemik di sini, manakala burung yang selalu menjadi sasaran seperti Bornean Ibon Dan Bornean Banded Pitta.

“Kelab Burung Borneo menjalankan pelbagai aktiviti bersama ahli-ahlinya, selain Program Kesedaran Konservasi ke sekolah-sekolah bersama NGO yang lain seperti Borneon Sun Bear Conservation Centre( BSBCC) dan Wildlife Rescue Unit (WRU).

“Perancangan terdekat pula ialah kami akan mengadakan Bengkel Mengenal Burung Migrasi di Pesisiran Pantai dijangka dijalankan di Kota Kinabalu pada Januari 2018 dengan kerjasama Leica Binoculars,” katanya.

Gary juga berharap untuk melihat generasi kini lebih mencintai dan menghargai alam sekitar.

“Kita sangat beruntung kerana dikelilingi dengan hidupan semulajadi yang hidup berhampiran dengan tempat tinggal kita terutama sekali bagi pemerhati burung apabila melihat burung terbang bebas di luar sangkar,” ujar Gary.

Burung Belatuk yang dapat dirakamkan oleh jurufoto Azman Jumat dalam program tersebut.

Burung Belatuk yang dapat dirakamkan oleh jurufoto Azman Jumat dalam program tersebut.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yakin aktiviti melihat burung berpotensi besar untuk dikembangkan.

“Satu kumpulan pelancong dianggarkan membelanjakan RM10,800 setiap 12 hari untuk melihat keunikan spesies burung yang berada di Sabah.

“Kemasukan pelancong bagi melakukan aktiviti melihat burung pasti akan membantu meningkatkan pendapatan industri pelancongan di negeri ini,”katanya ketika merasmikan Borneo Bird Festival 2017 baru-baru ini.

SF

Tinggalkan komen anda