Skip to main content
Berita TempatanSabah

Visi Bandar Raya Berdaya Huni, Penyertaan Awam Dialu-alukan  

By 3 November 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat & Abdullah Sani Ariff Lokhman (Sabah)

KOTA KINABALU, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman menggesa Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah bersama-sama semua pihak berkuasa tempatan di negeri ini agar terus melibatkan penyertaan awam dalam perancangan bandar.

Menurutnya, saluran yang sesuai dan efektif perlu disediakan untuk menggalakkan penyertaan orang awam dan memudahkan semua lapisan masyarakat.

Kenyataan yang dibaca oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Hajiji Noor dalam Persidangan Hari Perancang Bandar Sedunia 2017 pada Selasa mengundang pelbagai respons daripada pelbagai peringkat latar belakang.

Salah seorang peserta persidangan, Waily Harim bersetuju bahawa penglibatan awam ke arah bandar raya berdaya huni di Sabah merupakan pendekatan yang sangat baik terutama penduduk yang bekerja dan tinggal di bandar raya dan sepatutnya telah lama diaplikasikan.

“Namun belum terlambat, khususnya di Sabah yang masih banyak bandar kecil yang perlu dimajukan dan saya sebagai penduduk yang tinggal dan kerja di kawasan bandar berharap kita mendapat rumusan yang baik dalam persidangan hari ini,” katanya.

Peserta persidangan

Peserta persidangan

Di samping mengharapkan bandar yang hijau, udara yang bersih, keselamatan dan persekitaran yang baik, apa yang paling penting menurutnya ialah pengangkutan awam kerana banyak masa yang telah dibuang di jalan raya dan sepatutnya dapat dijimatkan untuk bersama dengan keluarga.

“Sebagai contoh, saya tinggal di Tambunan dan bekerja di Kota Kinabalu, kadang-kadang dari Tambunan saya ambil masa satu jam untuk tiba di Penampang. Tetapi dari Penampang ke pejabat saya yang terletak di Luyang ada kalanya sesak hampir satu jam walaupun jaraknya hanya 10 km.

“Pada saya, perkara yang perlu ditekankan dalam bandar raya berdaya huni ialah pengangkutan awam yang cepat, bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga wang,” ujarnya yang turut terlibat dalam pemeriksaan pelan-pelan pembangunan.

Tambahnya, garis panduan yang lama berpandukan 30 hingga 40 tahun dahulu yang ketika itu penduduk masih kurang dan bila sesebuah bandar itu membesar, kawasan makin berkurangan dan mungkin ada keperluan-keperluan baharu yang perlu dilambil kira.

“Khususnya dari segi peningkatan penduduk dan penggunaan jalan raya  dan juga keperluan infrastruktur yang mana memerlukan satu garis panduan yang baru supaya lokasi dan juga pembangunan itu sesuai dengan keperluan setempat.

“Perancang memang pakar, tetapi jika tidak mengambil kira pandangan awam mungkin kita akan tertinggal perkara-perkara yang  asas,”ujarnya.

Sementara itu, menurut seorang lagi peserta, Dr. Gaim James Lunkapis kebanyakan orang tahu, tentang penyertaan awam tetapi yang sangat ditekankan di sini ialah penyertaan awam yang bersistematik.

Gaim membawa 30 pelajar UMS untuk memberi pendedahan awal kepada mereka.

Gaim membawa 30 pelajar UMS untuk memberi pendedahan awal kepada mereka.

“Jika kita lihat pembentang pertama menekankan dua perkara, lakukan penyertaan awam sebelum projek bermula, kemudian dia bagi contoh lebuh raya di semenanjung dan saya rasa sangat sesuai dengan kita di Sabah kerana kita ada Lebuh raya Pan Borneo.

“Kita lihat berlaku salah faham dalam surat khabar dan juga tular menerusi laman sembang Whatsapp seolah-olah rakyat menentang idea ini. Tetapi sebenarnya mereka  mencadangkan laluan yang sesuai.

“Contohnya, laluan Pan Borneo di kawasan Kobusak itu melalui kawasan tanah yang lembap dan penduduk kampung ada mencadangkan satu tempat laluan yang lebih sesuai yang menurut mereka akan lebih menjimatkan kos.

“Jadi, penekanan pada hari ini yang pertama ialah perlu ada penyertaan awam semasa sebelum sesuatu projek dimulakan dan orang awam atau pemegang taruh boleh memberi maklum balas laluan yang sesuai,” jelasnya.

Tambah Gaim yang juga seorang Felo Kanan, Universiti Malaysia Sabah(UMS) , cara penyertaan awam dilaksanakan perlu dibuat secara ringkas agar pemegang taruh dan pemegang projek mudah faham dan akan dapat satu solusi yang baik.

“Kami di UMS menyediakan dua subjek yang sangat berkaitan dalam hal ini iaitu Penilaian Impak Sosial dan Alam Sekitar yang melibatkan penyertaan awam dan saya merupakan salah seorang pensyarah.

“30 pelajar dibawa ke persidangan ini sebagai satu pendedahan awal kepada mereka supaya bila mereka bertugas nanti, mereka akan sedar dan faham betapa pentingnya penyertaan awam dalam semua projek,” kata Gaim.

Seorang peserta persidangan, Faridah Giau juga berpendapat bahawa persidangan yang dijalankan amat sesuai kerana pada masa kini, sebarang projek  tidak boleh dirancang sesuka hati dan menggunakan perspektif yang lama.

“Sebenarnya, penglibatan orang awam di luar negara dalam perancangan projek memang sudah lama dilakukan kerana kita bukan merancang untuk hari ini, tetapi untuk masa depan maka setiap  perancangan perlu penyertaan awam dan adanya garis panduan.

“Pelancaran garis panduan yang berlangsung tadi sangat-sangat di perlukan di Sabah’ jadi harapan saya,  orang awam perlu ambil peluang ini dan jika ada sebarang perancangan ingin dilakukan, sila libatkan diri dan utarakan kerana apa yang ada sekarang adalah dipinjam untuk masa depan anak cucu kita nanti,” katanya.

Hui Ho menggalakkan kesedaran masyarakat terhadap proses perancangan dapat dipertingkatkan.

Hui Ho menggalakkan kesedaran masyarakat terhadap proses perancangan dapat dipertingkatkan.

Dalam pada itu, salah seorang penceramah, TPr. Law Hui Ho berkata, penglibatan awam ialah satu proses yang penting dalam proses perancangan pembangunan terutama pembangunan yang melibatkan komuniti kerana perancangan pembangunan itu bukan untuk seseorang individu tetapi untuk komuniti keseluruhan.

“Jadi pandangan dan input ataupun maklum balas dari orang awam itu adalah penting untuk menentukan perincian-perincian perancangan, walaupun proses itu panjang dan biasanya kompleks juga memakan masa tetapi dia memerlukan agensi yang dapat menguruskan proses itu.

“Sebab secara individu orang awam itu kadang-kadang mereka tidak dapat menghuraikan sesuatu dengan jelas, tetapi yang penting secara keseluruhan semua pendapat perlu dikumpulkan dan diterjemahkan dalam proses pembangunan serta diambil kira,”kata Hui Ho.

Beliau turut menggalakkan kesedaran masyarakat terhadap proses perancangan itu dapat dipertingkatkan walaupun isu-isu yang dibincangkan sangat kompleks.  Agensi atau juru perancang mesti ada kesefahaman tentang bagaimana dapat mengintegrasikan semua pendapat dan maklumat dari pelbagai pihak.

SF

Tinggalkan komen anda