
Laporan & foto: Fauzrina Bulka (Sabah)
KOTA KINABALU, 28 Nov (Malaysiaaktif) – Dapur memang bersepah, telur pecah, tepung tumpah tetapi suasana yang gamat itu sangat meriah, penuh gelak tawa kanak-kanak prasekolah yang kali pertama memasuki kelas memasak.
Itu semua idea seorang guru, Sry Wahyuny Sangkala, 31 yang tekad membawa 20 orang pelajar Tabika KEMAS Tanjung Batu Keramat pada Ahad untuk melaksanakan projek membuat donat. “Saya tanya pelajar saya mereka mahu masak apa dan saya berikan beberapa pilihan dan mereka memilih untuk membuat donat.
“Idea itu buat mereka teruja dan sangat gembira, acap kali bertanya kepada saya bila mahu buat donat sebab sudah tidak sabar,” kata Sry. Menurutnya, memang lucu melihat pelajar cilik itu berebut-rebut membuat hiasan atas donat, tepung pula sudah tentu tumpah merata-rata tetapi semuanya seronok melalui pengalaman itu bersama.
“Di sebalik projek ini, kita boleh lihat bakat dan minat kanak-kanak dalam bidang masakan ini sebab ada yang beri perhatian semasa demonstrasi dan ada juga yang tidak ambil tahu.
“Ini bermaksud melalui aktiviti ini dapat mencungkil bakat kanak-kanak dalam bidang masakan, selain dapat mengeratkan silaturrahim antara mereka dan juga guru.
“Kanak-kanak juga sebenarnya boleh melatih aktiviti motor kasar dalam bidang pembelajaran berasaskan tema kreativiti dan estetika,” katanya.
Tambahnya, respons daripada ibu bapa pula sangat baik, mereka gembira dan bangga kalau anak mereka boleh pergi jauh lagi dalam bidang masakan, mereka memberi sokongan yang jitu untuk anak-anak mereka. Bertuah bersekolah di KEMAS, pelajar mempunyai peruntukan lawatan pendidikan daripada Geran Perkapita Kanak-kanak (GPK) melayakkan setiap kanak-kanak mendapat RM10 untuk lawatan pendidikan.
“Dana yang disalurkan oleh kerajaan untuk KEMAS beri kepada pelajar Tabika KEMAS kami gunakan sebagai yuran projek memasak mereka hari ini.
“Bersekolah di KEMAS tidak akan dikenakan yuran, untuk mendaftar juga tidak dikenakan apa-apa bayaran. Setiap tahun kami hanya kutip RM10 seorang sebagai insuran selain menerima wang sumbangan ibu bapa,” jelas Sry.
Di sekolah juga rutin kanak-kanak dipenuhi dengan aktiviti bermain sambil belajar. Selain itu, mereka juga menganjurkan Hari Potensi Kanak-kanak.
“Semasa Hari Potensi akan diadakan acara padang dan baru-baru ini Tabika KEMAS Parlimen Tawau mewakili peringkat negeri ke acara potensi kanak-kanak dan memenangi acara bola lisut.
“Ini dapat membuktikan bahawa pelajar kami juga berbakat, selalunya kita dengar pelajar Tabika KEMAS hanya tahu menyanyi sahaja, sebenarnya bergantung kepada peranan guru juga,” katanya.
Sementara itu, pemilik AmDanish Baking and Cooking Studio, Sharifah Rafidah Syed Ahmad, 36 berkata Kelas Little Chef yang dianjurkannya bermula sejak cuti sekolah pada 2014.
“Saya mendapat idea menganjurkan kelas ini kerana memerhatikan Kem Musim Panas yang diadakan di luar negara melibatkan kanak-kanak sebagai pengisian aktiviti cuti sekolah.
“Kemudian saya terfikir, kanak-kanak ini biasanya memang suka pada makanan terutama sekali kek, donat dan banyak lagi jadi mengapa tidak saya buat program untuk mereka yang melibatkan kulinari dan bakeri.
“Alhamdulillah, ramai ibu bapa yang mengambil peluang untuk anak-anak isi masa dengan program ini, dan ramai ibu bapa lebih teruja apabila lihat hasil tangan anak-anak,” jelas Rafidah.
Menurutnya, sejak dimulakan, sudah lebih 50 orang pelajar yang telah menyertai kelas ini dengan mempelajari pelbagai menu seperti roti, pastri, donat, kek hari jadi, makanan, coklat, puding dan pelbagai lagi. Sebelum kelas bermula, kanak-kanak akan diberi pengenalan tentang kebersihan dan keselamatan semasa kelas, jadi terdapat beberapa peraturan yang perlu diterapkan agar tiada kecuaian berlaku.
“Sepanjang kelas berjalan terdapat pembantu yang bertugas agar dapat membantu mengawal dan membuat kerja berkaitan memasak atau penggunaan peralatan yang perlu dikawal oleh orang dewasa seperti dapur masak dan ketuhar gelombang.
“Usia yang paling muda pernah mengikuti kelas saya ialah kanak-kanak berusia enam tahun hinggalah yang berusia 17 tahun dan tidak terhad kepada kanak-kanak perempuan sahaja kerana yang lelaki juga punya minat yang sama.
“Bermula 2015, saya beri peluang untuk anak-anak yatim, anak yang tiada bapa daripada penceraian atau yang tidak mampu tetapi berminat untuk ikuti kelas tanpa sebarang yuran.
“Sekurang-kurangnya kami dapat gembirakan mereka untuk turut sama berpeluang mengikuti kelas sebegini dan mudah-mudahan dapat memberi manfaat buat mereka,” ujar Rafidah.
-SF