Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kerak Nasi, Terasi Goreng Antara Makanan Tradisi Etnik Cocos

By 18 November 2017Tiada komen5 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 18 Nov (Malaysiaaktif) – Setibanya di kediaman Annie Malissa Jangat, 30 semerbak bau terasi atau belacan digoreng menggamit deria bau, seolah-olah memanggil untuk segera dijamah.

Namun perlu menahan diri kerana jurufoto perlu merakamkan dulu hidangan terasi goreng bersama kerak nasi, ayam ros berserta dua jenis sambal cecah atau sambal colet dalam bahasa Cocos.

Kagum dengan anak muda ini yang masih berpendirian untuk komersialkan makanan tradisi etnik Cocos, walaupun kini pelbagai pilihan menu hipster tercipta bagi memenangi hati pelanggan.

Malissa menunjukkan cara membuat Ikan Berengkes.

Malissa menunjukkan cara membuat Ikan Berengkes.

Mula berniaga hampir dua tahun yang lalu, Malissa berterima kasih kepada ibunya yang menggalakkannya memasak di rumah sewaktu zaman persekolahan hingga dia tidak kekok untuk berniaga makanan.

“Tidak timbul soal untuk cuba-cuba masak dan hasilkan makanan tradisi ini sebab memang saya suda biasa masak menu itu, hanya perlu yakin sahaja makanan ini dapat diterima oleh lidah bangsa lain.

“Mula-mula dulu saya suka simpan nasi putih yang sudah dijemur dan buat cingkarok, iaitu kerak yang digoreng dan promosi kepada kawan-kawan menerusi Facebook.

“Kemudian bila sambutan agak baik, saya buat pula terasi goreng dan ikan berengkes dan tidak sangka permintaan sangat menggalakkan,” kata Malissa yang memulakan perniagaan hasil nafkah yang diberikan oleh suami ketika ditemui pada Khamis.

Bermula dengan hanya satu periuk sahaja, kini Malissa perlu menambah satu lagi periuk untuk memanggang kerak bermula 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

Memandangkan dia tinggal di rumah flat, maka dia hanya dapat memanggang menggunakan dapur gas berbanding kayu api secara tradisi yang sering diamalkan di kampungnya iaitu Kampung Balung Cocos, Tawau.

Kerak nasi yang sedang dipanggang di atas api ditunggu hingga berwarna keemasan sebelum diletakkan didalam bekas.

Kerak nasi yang sedang dipanggang di atas api ditunggu hingga berwarna keemasan sebelum diletakkan didalam bekas.

“Kos membuat kerak memang agak tinggi, sebulan saya gunakan hingga dua tong gas untuk memanggang. Untuk satu bekas berharga RM7 yang saya jual bersamaan tiga buah periuk kerak.

“Saya belum dapat memikirkan idea yang sesuai untuk mengurangkan kos ini, jadi setakat ini hanya gunakan cara moden saja, tapi saya masih dapat meletakkan harga yang berbaloi untuk dibeli,” katanya yang mengimpikan untuk membesarkan lagi perniagaannya.

Selain kerak nasi dan cingkarok, Malissa juga turut menjual makanan tradisi lain yang sesuai dimakan dengan kerak seperti serunding ikan, terasi goreng dan ikan berengkes.

Jualannya juga sudah dinikmati hingga Sarawak dan Semenanjung, dan mendapat permintaan juga hingga ke Australia dan London, namun dia sering mengingatkan pelanggannya bahawa nilai kos penghantaran adakalanya lebih tinggi daripada nilai makanan yang ditempah.

Kerak nasi yang sudah siap untuk dijual kepada pelanggan.

Kerak nasi yang sudah siap untuk dijual kepada pelanggan.

Rutin harian Malissa setiap hari ialah bangun awal sebelum azan Subuh berkumandang, mengemas rumah dan menyiapkan dua orang anaknya sebelum mula menyiapkan tempahan pelanggan.

Anak pertama Malissa yang berusia lima tahun menghidap microsefali iaitu keadaan kepala dan ruang otak yang kecil dan glocoma iaitu tidak dapat melihat.

Namun begitu, penjagaannya tidak cerewet, hanya perlu dimandikan dan diberikan bubur. Kemudian dia akan berehat dan tidur manakala anak kedua Malissa lahir normal serta bijak bermain sendiri.

“Yang merisaukan saya hanya apabila anak pertama diserang sawan kerana saya perlu segera menenangkan dirinya, mujur seorang ustaz pernah memberikan petua.

“Kata ustaz, amalkan madu asli dan suapkan sedikit di mulut anak, dan bila madu itu terasa di tekaknya, dia akan berasa tenang,” jelasnya yang tidak perlu berkejar ke hospital sejak mengamalkan petua tersebut.

Mujur juga pekerjaan suaminya, Ryan R. Porle, 32 sebagai juruukur kontrak tidak begitu padat dan dapat meluangkan masa membantu Malissa menjaga anak ketika dia sibuk menyiapkan tempahan.

Ryan (kiri) sentiasa meluangkan masa membantu Malissa (kanan) menjaga anak-anak mereka.

Ryan (kiri) sentiasa meluangkan masa membantu Malissa (kanan) menjaga anak-anak mereka.

Menurut Malissa, mereka suami isteri mendapat tahu tentang penyakit yang menimpa anak pertama sejak dalam kandungan lagi, namun mereka masih ingin menjaganya.

“Kata doktor, penyakit ini ialah penyakit genetik memandangkan nenek kami ialah adik-beradik dan kami dikahwinkan atas pilihan keluarga.

“Dalam tempoh lima tahun, empat bulan sekali kami berulang ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas agar dia dapat menerima rawatan untuk saraf, mata, gigi, terapi dan tulang secara percuma.

“Perbelanjaan kami hanya untuk makan dan pakaiannya saja, jadi dia memang tidak pernah membebankan kami,”ujar Malissa yang menerima mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM1200 setahun.

Anaknya juga mendapat bantuan kebajikan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat malahan dengan simpanan daripada bantuan yang diterima dijadikan wang pendahuluan untuk menduduki rumah baharu mereka nanti.

Menurut Malissa, dengan menumpang rezeki anaknya, dia dan keluarga bakal berpindah pada hujung November ini kerana layak dalam permohonan Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) yang terletak di Kinarut.

Sementara itu, pelanggan setia kerak, Norliah Saleh, 41 mengagumi Malissa yang mahir memasak dan tetap bersemangat untuk komersialkan menu tradisi sedangkan peniaga lain berlumba-lumba mencipta menu baharu.

“Malissa juga banyak membantu perantau seperti kami untuk tidak melupakan rasa makanan tradisi walaupun sudah jarang balik ke kampung di Sabah selepas pemergian orang tua.

“Makanan tradisi sebegini agak susah didapati, kalau tiada generasi pelapis yang buat, lama-kelamaan boleh tenggelam dan mungkin dilupakan.

“Saya sendiri berbangsa Tidung dan berkahwin dengan bangsa Cocos, tetapi menggemari kudapan ini hingga sering menempah daripada Malissa walaupun kos penghantaran ke sini agak mahal,” katanya ketika dihubungi di Shah Alam.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Cocos (PECOS) Cawangan Kota Kinabalu, Datuk Light Nanis berkata banyak makanan Cocos yang boleh dikomersialkan serta tahan lama dan sering dijadikan gayaman atau kudapan warga terdahulu ketika ingin pergi memancing atau bekerja di ladang kelapa sawit.

Light sentiasa menyokong usaha Malissa komersialkan makanan tradisi Cocos.

Light sentiasa menyokong usaha Malissa komersialkan makanan tradisi Cocos.

”Usaha Malissa harus disokong supaya makanan Cocos tidak akan hilang sementelah sudah mendapat sambutan ramai masyarakat Cocos sendiri dan bangsa lain.

“Selain banyak bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan dan agensinya, PECOS juga sudah menubuhkan dan mendaftarkan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cocos Sabah pada 2016 bertujuan untuk membantu usahawan Cocos yang memerlukan bantuan,’ujarnya.

Tambahnya, bangsa Cocos bertuah kerana mempunyai aset berupa tanah dan rumah perkampungan skim serta syarikat kerjasama yang dipelopori oleh generasi pertama dari Kepulauan Cocos.

“Mereka sudah mempunyai asas yang kukuh dari segi ekonomi, hanya perlu tambah nilai hasil tanaman untuk  dijadikan produk. Kekuatan kita kerana mampu mengurus organisasi dengan jayanya.

“Generasi kedua pula yang mempunyai pelajaran dan ijazah mempunyai peluang untuk bekerja dan menjadi usahawan.

“Generasi ketiga dan seterusnya hendaklah dijurus untuk mendapatkan latihan teknikal dan kemahiran untuk memenuhi keperluan industri.

“Sudah banyak usahawan Cocos yang berjaya hari ini berniaga makanan tradisi lain seperti puding Cocos dan kerepek di Kunak dan Lahad Datu serta produk sabun dan kosmetik di Kota Kinabalu,” jelasnya.

PECOS sudah lama diwujudkan dan diasaskan oleh Light di Kota Kinabalu dan telah ditubuhkan di tiga permukiman termasuk Lahad Datu dan Tawau

SF

Tinggalkan komen anda