Skip to main content
Berita TempatanSabah

15 Program Menanti Pelajar Baharu Politeknik KK

By 18 November 2017November 21st, 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & foto: Siti Mariam Aziz Rashid (Sabah)

KOTA KINABALU, 18 Nov (Malaysiaaktif) – Sebanyak 15 bidang program pradiploma dan diploma, serta satu sijil kemahiran ditawarkan termasuk program kejuruteraan pelbagai pengkhususan menanti kemasukan pelajar baharu sesi Disember 2017 di Politeknik Kota Kinabalu (PKK) pada 20 November ini.

Kepelbagaian pengkhususan di PKK ini termasuk kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrikal, pengurusan hotel dan pelancongan, pengajian perniagaan, di samping kursus separuh masa turut ditawarkan.

Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Zainab Othman dalam kenyataannya menjelaskan hampir 700 pelajar baharu telah membuat pengesahan melanjutkan pengajian di PKK berdasarkan borang pengesahan yang diterima setakat ini.

Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Zainab Othman.

Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Zainab Othman.

“Norma bilangan pelajar bagi Sesi Disember 2017 seramai 765 pelajar, dan sehingga hari ini kita telah menerima 639 pelajar iaitu sebanyak 84 peratus pengesahan pelajar untuk melanjutkan pengajian mereka di PKK.

“Bilangan ini dijangka akan meningkat lagi sehingga tarikh tawaran permohonan secara daftar masuk tamat pada 15 Disember 2017 akan datang”, kata Zainab semasa kenyataan akhbarnya pada Jumaat.

Jelasnya lagi, Politeknik Malaysia merupakan salah satu institusi peneraju TVET iaitu pembelajaran yang berasaskan kepada pendidikan latihan teknik dan vokasional.

“Pendidikan dan latihan di politeknik berbentuk industry-led programmes yang dibangunkan secara kolaborasi dengan pihak industri, bermatlamat untuk memenuhi kehendak majikan yang mengutamakan graduan berkemahiran tinggi di samping mempunyai kelayakan akademik yang berkenaan.

Tambahnya, Pendaftaran Pelajar Baharu Sesi Disember 2017 bagi PKK akan diadakan bermula Isnin.

“Sesi pendaftaran masuk ke kolej kediaman bagi pelajar-pelajar baharu akan diadakan pada 19 November manakala pendaftaran pengajian diadakan pada 20 November bertempat di Dewan Rafflesia, PKK.

“Para pelajar baharu seterusnya akan mengikuti Program Minggu Suai Kenal (MSK) yang diadakan selama enam hari bermula 19 hingga 24 November 2017, yang bertujuan untuk mendedahkan para pelajar tentang pengenalan kepada organisasi Politeknik KK,” ujarnya lagi.

PKK mempunyai lebih 5,000 pelajar ketika ini termasuk pelajar kursus separuh masa.
Maklumat lanjut berkaitan pendaftaran pelajar baharu Sesi Disember 2017 boleh didapati melalui laman sesawang PKK di alamat www.polikk.edu.my atau menghubungi Pegawai Hal Ehwal Pelajar PKK di talian ?088-401 800?/ 401-816.

SF

Tinggalkan komen anda