
Laporan & Foto: Dzulhardey Shah Abdullah @ Hamidey (Sabah)
BEAUFORT, 18 Nov (Malaysiaaktif) – Pertandingan Teh Tarik Kurang Manis Berirama bukan sahaja menarik malah turut dilihat unik bagi menjayakan kempen bersempena sambutan Hari Diabetes Sedunia peringkat hospital daerah beaufort pada khamis.
Timbalan Pengarah (Pengurusan) Hospital Beaufort, Mohd Dzulhairul Shah Dzulkifli menyatakan pertandingan tersebut ialah salah satu usaha pihak hospital mempelbagaikan kempen kesedaran terhadap bahayanya gula berlebihan dalam minuman.
Tambahnya, melalui pertandingan ini secara tidak langsung menarik perhatian para pelanggan yang hadir ke hospital ini dan seterusnya menghiburkan pelanggan agar sentiasa mengutamakan kesihatan.
“Melalui pertandingan ini pasti dapat menghilangkan rasa kurang sihat pesakit dengan bergelak ketawa bersama kakitangan hospital yang menyertai pertandingan ini.
Ujarnya lagi, keunikan program ini juga selain sebagai kempen juga sebagai suatu usaha memupuk perpaduan dan kerjasama dalam kalangan kakitangan hospital yang sentiasa bersedia memberi perkhidmatan cemerlang dalam melayani pelanggan.
Pertandingan Teh Tarik Kurang Manis Berirama yang diadakan di Laman Saujana Hospital Beaufort mendapat sambutan meriah dengan gelak ketawa apabila melihat persembahan daripada kakitangan hospital berkenaan.
Program ini dilihat satu platform tepat menerapkan keberkesanan kempen kurangkan manisan dalam minuman.
Pada acara tersebut, peserta yang terdiri daripada kalangan kakitangan hospital diminta untuk membancuh teh tarik seterusnya menggayakan aksi masing-masing dan penilaian berasaskan kesesuaian minuman kurang manis sesuai dengan tema sihat.
Johan dimenangi oleh Jasni, naib johan dirangkul oleh Ketua Jururawat, Doty Lohok, dan ketiga Deidre Maryanne Mariusius. Peserta yang bertanding terdiri daripada bahagian pentadbiran, perubatan dan kantin hospital.
Turut diadakan pelbagai pengisian antaranya demonstrasi membuat teh dan acara Sweet Senamrobik.
–SF