Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Luncur Udara Puncak Tapak Warisan Dunia UNESCO, Gunung Kinabalu

By 21 November 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: MOTAC (Sabah)

KOTA KINABALU, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai enam peserta program 1Voluntorism: Mount Kinabalu Paragliding dibawa meluncur udara dari puncak Tapak Warisan Dunia UNESCO, Gunung Kinabalu pada Sabtu.

Pengerusi Lembaga Taman-Taman Sabah, Tengku Datuk Seri Dr Zainal Adlin Tengku Mahamood berkata, bagi memudahkan pelancong yang tidak mempunyai masa lama tinggal di Sabah dan tidak dapat mendaki gunung seperti biasa, mereka boleh menggunakan perkhidmatan helikopter untuk mendarat di kawasan Summit Pluton gunung berkenaan.

Pengerusi Lembaga Taman-Taman Sabah, Tengku Datuk Seri Dr Zainal Adlin Tengku Mahamood semasa meluncur di udara.

Pengerusi Lembaga Taman-Taman Sabah, Tengku Datuk Seri Dr Zainal Adlin Tengku Mahamood semasa meluncur di udara.

Summit Pluton merupakan tapak pelepasan aktiviti luncur tertinggi di dunia dengan ketinggian 13,000 kaki dari aras laut menjadikan aktiviti luncur udara ini sebagai salah satu produk terkemuka pengembaraan eko pelancongan yang ditawarkan di sini ini.

“Para peluncur dibawa ke tapak pelepasan menggunakan helikopter dan mereka akan turun dari puncak Kinabalu menggunakan payung luncur lebar ke tapak tamu Kundasang yang mengambil masa kira-kira sejam, bergantung kepada faktor keadaan angin semasa,” katanya ketika ditemui pemberita.

Tambah Zainal Adlin, Kundasang dan Ranau amat sesuai untuk dijadikan lokasi sukan udara kerana alam sekitar dan anginnya yang amat sesuai bagi aktiviti-aktiviti udara seperti mikrolite, luncur udara, Belon Udara Panas dan lain-lain lagi dengan syarat ia selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar.

“Sepanjang tahun lepas, seramai 14,000 pelancong telah menyertai aktiviti luncur udara di Ranau dan kita menjangkakan jumlah tersebut meningkat pada tahun ini,” kongsinya.

Pengarah MOTAC Sabah, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar

Pengarah MOTAC Sabah, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar

Program berkenaan merupakan anjuran pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Sabah (MOTAC Sabah) dengan kerjasama Lembaga Taman-Taman Sabah.

Sementara itu, Pengarah MOTAC Sabah, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berharap dengan wujudnya produk-produk pelancongan niche ini akan dapat mempromosikan Malaysia khususnya Sabah kepada negara luar sebagai destinasi pelancongan ekopelancongan terkemuka selari dengan usaha kementerian berkenaan yang mempromosikan tema “Lung Washing Tourism”.

Ahmad Zaki turut berharap orang ramai yang melancong di negeri ini untuk menggunakan hashtag #SayangMalaysia pada setiap gambar yang dimuat naik ke laman sosial sebagai menyokong kempen menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan terkemuka di dunia.

-SF

Tinggalkan komen anda