Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kisah Duka SK Tanaki Kini Berakhir

By 21 November 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan: Zuraidah Ahmad / Foto: Johnny G.Kimlon (Sabah)

PAPAR, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Kisah duka Sekolah Kebangsaan Tanaki yang pernah meneruskan sesi persekolahan di bawah khemah selama tiga bulan selepas terbakar pada 2015, kini berakhir.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, sekolah itu terpilih dalam kumpulan pertama yang akan dibaik pulih di Sabah.

Katanya, sekolah yang berusia hampir 30 tahun itu akan menerima bangunan baharu terdiri daripada enam bilik darjah lengkap perabot serta sistem perparitan dan tandas.

feature

Najib (tengah) mendengar pelajar Tahun 6, Mohd Haikal David membaca karangan untuknya

“Pada Pembentangan Bajet 2018, saya telah mengumumkan peruntukan RM2.5 bilion bagi membina semula dan menaik taraf 2,000 sekolah di seluruh negara dengan RM1 bilion diperuntukkan kepada Sabah.

“Peruntukan tersebut adalah untuk membaiki sekolah yang berada dalam keadaan daif seperti bumbung bocor, lantai rosak, dinding berlubang dan peralatan yang sudah lama tidak berganti melalui kaedah Industrial Building System (IBS).

“Pada tahun ini sahaja, 30 pembinaan sekolah baharu menggunakan  kaedah IBS yang memerlukan penyelenggaraan segera telah pun dimulakan di Sabah,” ujarnya pada sesi lawatan ke sekolah itu, pada Sabtu.

Jelas Najib, usaha tersebut bertujuan menyediakan persekitaran lebih kondusif dan berharap infrastruktur berkenaan dapat memberi dorongan kepada murid supaya belajar dengan tekun lagi terutama di kawasan pedalaman.

Setakat hari ini, 70 murid di sekolah itu ditempatkan di dua blok bangunan sementara, manakala dua blok tambahan baharu telah siap sepenuhnya dilengkapi empat unit kipas dan lampu.

Turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

-SF

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda