
Laporan dan Foto oleh: Azhar Yazid & Norhasnida Sarani (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Bersempena lawatan sulung Putera Mahkota Britain, Putera Wales, Putera Charles dan The Duchess of Cornwall, Camilla yang dijangka pada 3 November 2017 ini, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) telah mengeluarkan siri setem edisi khas yang memaparkan wajah pasangan ini.
Ketua Unit Setem & Filateli, Diyana Lean Abdullah berkata siri setem ini turut dikeluarkan sempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala Malaysia dan United Kingdom.
“Siri ini akan menampilkan dua keping setem reka bentuk wajah Putera Wales (RM1) dan Duchess Cornwall (RM1).
“Siri setem ini amat terhad keluarannya di mana hanya akan ada 250,000 keping setem bagi setiap satu reka bentuk yang akan dihasilkan pada kali ini.
“Para pengumpul setem di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor boleh mendapatkan setem tersebut pada hari Ahad, 5 November manakala di negeri Perak pada hari Isnin, 6 November,” katanya.
Sementara itu, turut dikeluarkan 40,000 keping Lembaran Mini (LM) yang menampilkan wajah kedua-dua pasangan diraja ini dan boleh dibeli pada harga RM6.00.
“Tanda pembatalan bagi siri ini merupakan logo ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom,” katanya lagi.
Selain itu, produk filateli lain adalah seperti Sampul Surat Hari Pertama (FDC) termasuk risalah berharga RM 0.55 sen setiap satu serta folder yang dijual pada harga RM 6.35 setiap satu, manakala set lengkap koleksi setem ini dijual pada harga RM43.45 setiap satu.

Media Preview koleksi setem terbaru ‘Royal Visit TRH The Prince of Wales & The Duchess of Cornwall – 60 Years Anniversary of Diplomatic Ties Malaysia-United Kingdom’ oleh Pengurus Unit Setem & Filateli Pos Malaysia Berhad, Diyana Lean Abdullah (kanan)
Set lengkap setem ini turut dijual di www.eziemall.com dan sebagai alternatif boleh layari laman web Pos Malaysia atau lawati Bahagaian Galeri Filateli Pos Malaysia di Ibu Pejabat Pos Malaysia Kuala Lumpur untuk sebarang pertanyaan lanjut.
Terdahulu, Pos Malaysia mengeluarkan siri Ulang Tahun Berlian Ratu Elizabeth II pada September 2012.
Pada program yang sama, Diyana turut menyeru orang awam untuk membuka Akauan Pesanan Tetap atau Standing Order Deposit Account (SODA) bagi menjadi sebahagian daripada komuniti SODA.
Jelasnya, pendaftaran SODA boleh dibuat di mana-mana Pejabat Pos berhampiran atau secara dalam talian di www.posonline.com.my untuk menikmati pelbagai faedah istemewa sebagai ahli.