Skip to main content
Berita TempatanSabah

Wartawan Kongsi Pengalaman Meluncur

By 30 November 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KUDAT, 30 Nov (Malaysiaaktif) – Bulan September hingga Disember setiap tahun, ialah masa yang dinantikan para peluncur ombak untuk melepaskan gian menjadi raja di laut.

Terdapat beberapa lokasi menarik di Sabah yang menjadi tumpuan para peluncur selain Kudat iaitu di Tanjung Aru, Karambunai dan Kota Belud. Festival Papan Luncur Air dan Muzik yang diadakan di Pantai Kalampunian, Tanjung Simpang Mengayau baru-baru ini merupakan yang pertama dianjurkan tahun ini oleh Sri Pelancongan Sabah dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Suasana di tepi pantai dipenuhi dengan peluncur

Suasana di tepi pantai dipenuhi dengan peluncur

Menterinya, Datuk Masidi Manjun berkata aktiviti sukan papan luncur air di negeri ini semakin diminati  ramai dan Kudat mampu menjadi daya tarikan pelancong yang popular di negeri ini. Peminat sukan air ini sememangnya semakin bertambah apabila pihak penganjur turut memberi peluang kepada rakan media merasai pengalaman setahun sekali ini.

Jurufoto akhbar Utusan Malaysia, Irwan Majid, 35 tekad menjadikan sukan ini sebagai hobi pertama selepas merasai pengalaman 25 minit berhempas pulas menjinakkan ombak hingga berjaya berdiri di atas papan luncur dengan bergaya.

“Ini sememangnya pengalaman pertama saya meluncur air dan sebelum ni hanya mampu lihat di televisyen sahaja. Kebetulan saya ditugaskan untuk festival ini, saya terus ambil peluang tersebut.

“Semangat untuk ke sini memang berkobar-kobar kerana sudah dimaklumkan oleh urus setia bahawa media akan diberi peluang. Selepas tiba, saya segera daftarkan nama dan tunggu giliran untuk mengambil papan luncur,”ujarnya.

Walaupun latihan diberikan agak singkat, tetapi sebagai anak Bajau Laut yang sentiasa dekat dengan air, Irwan berusaha juga melalui cabaran seperti peluncur lainnya.

“Sangat berbeza sekali jika dibandingkan di darat, pengalaman itu tidak seperti menunggang motosikal, cabarannya ialah menangani ombak yang datang.

“Kita perlu kejar ombak untuk mendapatkan arus supaya papan luncur terus meluncur selain perlu berusaha untuk mengimbangkan badan,” katanya.

Irwan turut berharap agar pihak kementerian dapat menyediakan kelas belajar meluncur pada hujung minggu kepada peminat baharu dengan kadar yuran yang rendah agar jumlah peminat terhadap sukan terbabit terus meningkat.

William berusaha untuk mengimbangkan badan untuk berdiri di papan luncur

Willie Jude berusaha untuk mengimbangkan badan untuk berdiri di papan luncur

“Saya juga berharap sukan ini dapat dikembangkan lagi di Sabah kerana negeri ini mempunyai laut yang cantik dan luas,” katanya.

Seorang lagi wartawan daripada Berita Harian, Willie Jude hanya mampu bertahan selama 10 minit sebelum mengalah kerana keletihan.

“Agak sukar untuk naik ke papan luncur kerana perlu berusaha untuk mengimbangkan badan ditambah lagi dengan tolakan ombak yang kuat dan papan luncur yang ringan.

“Tetapi dengan latihan yang cukup mungkin saya berpeluang untuk menewaskan peserta akhir profesional pada tahun hadapan,” katanya bergurau.

Willie juga berharap dengan sokongan yang diberikan oleh kementerian dalam festival ini diharap akan ramai peluncur tempatan berpeluang menjadi finalis akhir selepas ini kerana Malaysia sebenarnya punya banyak bakat yang menonjol dan hebat.

“Ramai peluncur tempatan yang hadir dalam festival ini dan ada antaranya ialah kanak-kanak berusia tujuh ke lapan tahun yang sudah mula meluncur air.

“Jika mereka mendapat pendedahan awal dan mendapat latihan yang cukup tidak mustahil akan menjadi juara pada masa akan datang,”katanya. Festival Papan Luncur Air dan Muzik 2017 turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Luncur Air Sabah dan Pejabat Daerah Kudat.

-SF

 

Tinggalkan komen anda