Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

226 Pelajar Dapat Bantuan Awal

By 19 Disember 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto: Jamilah Sulaiman Nasution (Seremban)

SEREMBAN, 19 Dis (Malaysiaaktif) – “Tiada lagi alasan untuk tidak menghantar anak ke sekolah. Bantuan kelengkapan persekolahan telah diberikan dan yuran persekolahan sudah dimansuhkan“.

Demikian kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan 2018 kepada asnaf fakir dan miskin bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi dan Ampangan bertempat di Masjid At-Taqwa, Paroi, petang semalam.

Tambahnya, pelajaran sahajalah yang akan menentukan keberjayaan kita dan dengan berbekalkan ilmu kita mampu bersaing dengan sesiapa sahaja.

Pada majlis tersebut, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui Pejabat Baitulmal Daerah Seremban telah menyalurkan bantuan persekolahan sebanyak RM59,100 kepada 104 penerima dari kariah Masjid At-Taqwa, Paroi.

Para penerima sumbangan menerima kelengkapan persekolahan seperti baju sekolah, kasut serta stoking dan wang tunai sebanyak RM200 bagi pelajar sekolah rendah manakala pelajar sekolah menengah menerima RM250.

Jelas Mohamad, kemampuan MAINS mengadakan bantuan seperti itu membuktikan bahawa  pengurusan MAINS mempunyai keupayaan mengurus kewangan dengan baik dan telus.

“Pengurusan yang cekap dan telus ini mampu meningkatkan keyakinan dalam kalangan umat Islam untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

“MAINS melalui kerjasama dengan Pusat Zakat Negeri Sembilan telah merekodkan prestasi yang cemerlang dalam kutipan zakat kerana mempunyai peningkatan setiap tahun.

“Pembayar zakat di negeri ini turut ada yang datang dari negeri lain kerana keyakinan mereka terhadap pengurusan zakat di Negeri Sembilan,“ jelasnya.

Sementara itu, salah seorang penerima yang masih bersekolah, Muhammad Adlan Asnawi menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan.

“Saya sangat gembira apabila dapat sumbangan ini kerana persiapan pakaian seragam sekolah sudahpun ada dan saya akan gunakan bantuan wang tunai yang diberikan untuk beli peralatan tulis dan buku,” ujarnya.

Dalam pada itu, bapa, Latif Zulkefli berkata usaha murni Baitulmal dalam menyediakan semua keperluan dan kelengkapan persekolahan untuk anak-anaknya seramai tiga orang iaitu dua sekolah menengah seorang masih di sekolah rendah sangat dihargainya.

“Bantuan ini serba sedikit mampu mengurangkan beban. Saya sering menasihati anak-anak saya supaya menghargai jasa kerajaan dan membalasnya dengan belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan cemerlang pada masa hadapan,“ ujarnya.

-SF

Tinggalkan komen anda