Skip to main content
Berita TempatanSabah

Dari Brunei ke Sabah Demi Dron

By 20 Disember 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 20 Dis (Malaysiaaktif) – Mengharungi perjalanan darat selama lapan jam dari Brunei ke Sabah bukanlah masalah besar buat Mohd Khairul Hazmi Munir, 29, bagi menghadiri Sabah MultiGP Drone Racing Championship and Underwater Robotic Challenge yang julung kali diadakan.

Walau perjalanan terhenti seketika di Sipitang disebabkan masalah kenderaan yang dipandunya, mujur bantuan warga tempatan membantunya sampai ke destinasi walau ketika itu agak lewat dan bengkel penyertaan sudah ditutup tetapi dugaan tersebut tidak mematahkan semangatnya meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu seterusnya meraih tempat kedua dalam pertandingan tersebut.

Khairul (tengah) mengharungi perjalanan darat selama lapan jam dari Brunei ke Sabah.

Khairul (tengah) mengharungi perjalanan darat selama lapan jam dari Brunei ke Sabah.

Peserta, Mohd Khairul Hazmi Munir ketika ditemui berkata dia amat meminati sukan ini dan mula terlibat dengan sukan berkenaan sejak dua tahun lepas.

“Setakat ini saya mempunyai lima koleksi dron, antaranya ialah dron untuk berlumba sebanyak dua buah, untuk freestyle ada dua buah dan untuk aerial video sebuah.

“Untuk semua koleksi itu, saya telah melabur lebih kurang B$5000 dan kegemaran saya ialah dron buatan Brunei jenama Rival,”katanya yang membawa pulang RM2000 pada pertandingan tersebut.

Menurut Khairul, dia lebih suka untuk berlumba menggunakan dron kerana memberi lebih kepuasan dan aliran adrenalin yang berbeza.

Jelasnya, berlumba menggunakan dron agak sama seperti berlumba kereta iaitu pemandu perlu fokus, perlu ada strategi dan perlu sentiasa sabar.

“Kalau tidak sabar, kemungkinan dron akan terhempas, sebab itu perlunya kesabaran dan strategi dalam permainan ini.

“Dengan mengikuti pertandingan peringkat antarabangsa juga dapat menambah kenalan di samping berkongsi pengalaman dan ilmu dengan mereka,” katanya yang baru menggenggam Ijazah Sarjana Perguruan Ugama Pengurusan dan Pentadbiran Islam.

Dalam pada itu, pemenang Kategori Freestyle, Rizman Yusam, 38 tidak menyangka penyertaan julung kalinya membawa tuah kepadanya dengan membawa pulang wang tunai RM1000.

Rizman (kanan) bersama isteri yang menjadi pendorong kuatnya dalam sukan dron.

Rizman (kanan) bersama isteri yang menjadi pendorong kuatnya dalam sukan dron.

Rizman yang bertugas sebagai Pegawai Teknologi Maklumat di sebuah jabatan kerajaan balik bercuti bersama keluarga di Sabah.

“Biasanya setiap kali balik kampung, saya pasti akan membawa dron untuk mengambil pemandangan dan freestyle sekitar Kota Kinabalu.

“Kebetulan percutian kali ini ada dianjurkan pula pertandingan ini jadi saya mengambil kesempatan untuk mencuba nasib.

“Video yang saya hantar untuk dipertandingkan itu juga diambil menggunakan Custom Freestyle Drone Armattan Chameleon dan disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga jam sahaja,” jelasnya.

Rizman yang baru sahaja setahun melibatkan diri dalam permainan ini mengakui membeli peralatan dronnya secara berasingan.

Bermula dengan pengendali dan kemudian bahagian-bahagian dron yang dipasang sendiri berserta gogal yang keseluruhannya bernilai lebih RM3000.

Walaupun menyunting video bukan kemahiran Rizman tetapi dia banyak membuat rujukan dengan penghasilan video yang dibuat daripada profesional melalui laman Youtube.

Katanya, saya lebih gemar membuat video yang ringkas, tetapi yang penting sesuai dengan muzik supaya penonton dapat memahami mesej yang ingin disampaikan.

“Walaupun video yang saya siapkan hanya dalam tempoh dua hingga tiga jam tetapi aktiviti di lokasi penggambaran mengambil masa tiga hari juga.

“Jika hujan atau ramai orang di lokasi memang tidak dapat teruskan penggambaran kerana berbahaya kerana jika kehilangan signal dikhuatiri dron terhempas hingga mencederakan orang awam,” jelasnya.

Tambahnya, aksi freestyle banyak melakukan aksi akrobatik dan mencabar seperti melalui ruangan sempit, kerana itu pemandu perlu banyak berlatih dalam simulator untuk mengurangkan kos kerugian akibat kerosakan.

Rizman juga mengajak pemandu dron agar sentiasa bertanggungjawab dan utamakan keselamatan bagi menjaga imej pemandu dron amnya supaya tidak tercemar.

Petugas marshall (tengah berbaju biru) akan memastikan pemandu dron(memakai gogal) bersedia sebelum perlumbaan dimulakan.

Petugas marshall (tengah berbaju biru) akan memastikan pemandu dron(memakai gogal) bersedia sebelum perlumbaan dimulakan.

Sementara itu, Ketua Marshall Dron, Mohd Jufree Kassim berkata walaupun dron dikatakan merupakan hobi yang mahal, namun jika benar-benar berminat boleh membelinya secara berasingan.

Jufree yang juga Timbalan Presiden Kelab Drone Sabah membuka kelab itu pada 2015 bersama dua lagi rakannya Jabansyah Shadan dan Wong Wee Dee turut berkongsi tip kepada penggemar baharu sukan ini.

“Jangan tergesa-gesa untuk membeli dron dan dapatkan nasihat daripada yang berpengalaman untuk mendapatkan dron yang betul-betul sesuai.

“Dron bukan sekadar hobi kerana juga boleh dijadikan pendapatan sampingan, maka pada yang ingin mula bermain, jangan malu bertanya.

“Kami di kelab sentiasa membantu. Sertai kami dengan menjadi ahli, tiada sebarang yuran dikenakan jika ingin menjadi ahli kelab, hanya layari Facebook Kelab Dron Sabah untuk berhubung,”katanya.

Kelab tersebut juga telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan pada Mac 2017 dan telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

“Setakat ini keahlian kelab mencecah 100 orang dan sekarang ini kami terus mencari ahli setiap daerah yang boleh mendidik dan mengajar ahli baharu untuk bermain dron.

“Kelab juga terbuka untuk ahli yang berumur 13 tahun dan ke atas dan ada antara ahli juga berasal dari Labuan,” katanya.

Jufree berimpian agar kelabnya diberi peluang sebagai antara media penyelamat seperti yang telah ditubuhkan di negara-negara luar.

“Negara luar pernah menyertai misi penyelamatan dua pendaki yang hilang di Grand Canyon dan usaha National Park Service mengendalikan dron untuk misi menyelamat adalah sangat mengagumkan.

“Saya dan rakan-rakan juga mengambil kesempatan untuk mengambil video dari Masilau dan Ranau semasa keadian gempa berlaku dahulu.

“Sekarang di Kota Belud selalu dinaiki banjir mungkin kita boleh menggunakan dron sebagai antara usaha penyelamatan bagi mengenal pasti mangsa-mangsa yang memerlukan bantuan,” katanya berharap.

Sabah MultiGP Drone Racing Championship dan Underwater Robotic Challenge dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Sumber Manusia dan Kemajuan Teknologi Maklumat.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Kelab Dron Sabah, Politeknik Kota Kinabalu dan Persatuan Pengaturcara dan Pembina ICT Sabah.

SF

Tinggalkan komen anda