Skip to main content
Berita TempatanSabah

Anugerah Staf Terbaik, Pemimpin Harapan PKK Milik Julkifli

By 20 Disember 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan & foto: Siti Mariam Aziz Rashid (Sabah)

KOTA KINABALU, 20 Dis (Malaysiaaktif) – Julung kalinya, 15 Kategori Anugerah Khas telah diperkenalkan sempena Majlis Apresiasi Politeknik Kota Kinabalu (PKK) Unggul 2017 yang berlangsung pada Jumaat.

Menariknya, dua anugerah khas dimenangi oleh seorang individu hasil pemilihan kakitangan PKK melalui sistem undian secara dalam talian bermula Selasa.

Penerima dua Anugerah khas Kategori Staf Terbaik dan Kategori Pemimpin Harapan, Julkifli Awang Besar berkata, dia tidak menyangka memenangi dua kategori khas serentak.

Julkifli bersama dua anugerah yang dimenanginya.

Julkifli bersama dua anugerah yang dimenanginya.

“Saya sangat menghargai pemilihan dan sokongan semua kakitangan yang memberi kepercayaan kepada saya hingga menang.

“Anugerah ini merupakan pengiktirafan bernilai kepada segala usaha yang telah saya berikan dalam meningkatkan prestasi PKK khususnya dalam bidang multimedia dan robotik,” ujarnya.

Tambahnya, anugerah ini adalah untuk semua kakitangan PKK yang telah memberi sokongan kepada saya dalam usaha menjayakan setiap pelaksanaan program.

“Sebagai penjawat awam, saya percaya kita perlu sentiasa bersikap proaktif dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan, inilah prinsip yang saya pegang selama ini,” jelas Julkifli yang merupakan Ketua Unit Instruksional dan Multimedia.

Sementara itu, bagi Ketua Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Wan Norliana Wan Sulong berkata, Anugerah Khas Kategori Staf Versatile (Serba Boleh) yang dimenanginya merupakan pemangkin kepadanya untuk terus cemerlang pada masa akan datang.

Zainab menyampaikan anugerah staf versatile (serba boleh) kepada Wan Norliana.

Zainab menyampaikan anugerah staf versatile (serba boleh) kepada Wan Norliana.

Tambahnya, dia turut berharap anugerah ini turut menjadi pembakar semangat kepada kakitangan yang lain untuk menunjukkan bakat masing-masing pada masa akan datang.

“Saya percaya ramai kakitangan yang mempunyai bakat terpendam yang pasti lebih menonjol lagi selepas ini,” tambahnya.

Berbeza pula dengan Ketua Jabatan Sukan, KoKurikulum dan Kebudayaan (JSKK), Abdul Khalil Khalid, berkata anugerah Khas Kategori Staf Aktif yang diterimanya mengundang perasaan terharu.

“Majlis ini merupakan majlis terakhir saya bersama PKK setelah menerima lantikan selaku Timbalan Pengarah Akademik di Politeknik Tawau Sabah mulai Isnin ini.

“Saya amat terharu, sedih dan gembira pada masa yang sama kerana ini merupakan anugerah dan majlis terakhir bagi saya bersama rakan-rakan di PKK.

“Saya berbangga kerana mempunyai pegawai-pegawai yang mantap dan komited dalam menjalankan tanggungjawab yang diberi serta sokongan kakitangan yang sentiasa membantu dan bekerjasama dalam aktiviti-aktiviti JSKK.

“Saya amat berterima kasih dan menghargai jasa mereka,” tambah Khalil.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Zainab Othman berkata pemilihan seumpama ini dilihat lebih adil kerana para penerima anugerah dinilai dan dipilih sendiri oleh warga kerja PKK.

“Pemberian anugerah kepada kakitangan bertujuan untuk menghargai serta memberi dorongan kepada kakitangan agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang.

Jelasnya lagi, pelaksanaan Majlis Apresiasi ini ialah platform terbaik bagi meraikan dan menghargai segala usaha kakitangan.

Zainab berkata demikian semasa merasmikan sambutan Majlis Apresiasi PKK Unggul 2017 di sini pada Jumaat.

Tambahnya, majlis hari ini merupakan satu majlis khas untuk meraikan semua kakitangan PKK yang telah membuktikan kecemerlangan dalam bidang masing-masing bagi sepanjang 2017.

“Semoga penganugerahan yang diberi akan menjadi pemangkin atau pembakar semangat kepada warga PKK untuk bekerja keras bagi mencapai matlamat PKK sebagai institusi unggul menjelang 2020,” katanya.

Seramai lebih 200 kakitangan Politeknik Kota Kinabalu yang terdiri daripada para pensyarah dan kakitangan pelaksana, hadir pada majlis yang bertemakan Sambutan Hari Natal tersebut.

Turut disampaikan 34 Anugerah Staf Contoh bagi Oktober hingga Disember 2017, kepada warga PKK dari pelbagai jawatan sebagai tanda penghargaan atas usaha gigih dalam membantu pencapaian cemerlang institusi tersebut.
SF

Tinggalkan komen anda