Skip to main content
Berita TempatanSabah

Gali Ilmu, Impian Jadi Jutawan

By 22 Disember 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan & foto: Fauzrina Bulka (Sabah)

KOTA KINABALU, 22 Dis (Malaysiaaktif) – Kesukaran mendapatkan tudung labuh yang digemari di negeri ini menjadikan pemakainya terpaksa membeli secara dalam talian dari tanah semenanjung.

Antaranya ialah Saiyidatul Syamimi Jasney, 27 yang adakalanya terpaksa menjahit sendiri tudungnya sejak zaman persekolahan memandangkan dia menimba ilmu di sekolah agama.

Syamimi berharap mengeluarkan tudung labuh jenama sendiri.

Syamimi berharap mengeluarkan tudung labuh jenama sendiri.

“Harga tudung bukanlah murah, ditambah dengan kos penghantaran. Sebagai langkah berjimat, saya mendaftar untuk menjadi agen dropship untuk mendapatkan harga yang lebih rendah.

“Di situ juga bermulanya saya berniaga tudung labuh dan kemudian terfikir pula untuk mengeluarkan jenama sendiri kerana saya sendiri boleh menjahit.

“Ditambah lagi seorang adik saya yang belajar di UiTM Shah Alam akan menamatkan pengajiannya dalam bidang fesyen hujung Januari nanti, jadi kami boleh berniaga bersama,” katanya.

Lantaran itu, dia hadir dalam Program CreaM@YWE Sehari Bersama Sharon Voo, Usahawan Berjaya anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah pada Selasa.

“Saya hadir dalam program ini walaupun hari hujan kerana ingin belajar tentang asas perniagaan agar dapat bertahan dalam industri ini.

“Dengan simpanan yang saya ada daripada hasil dropship saya akan gunakan untuk memulakan perniagaan saya nanti dan jika ada rezeki saya akan cuba hadiri temu duga untuk dapatkan dana dalam Program CreaM@YWE Januari nanti.

“Harapan saya dengan adanya perniagaan sendiri, saya akan dapat membantu orang lain pula untuk berniaga dengan menjadi agen dropship jenama saya pula,” ujarnya.

Siti ingin membuka perniagaan makanan bayi sedia dimakan.

Siti ingin membuka perniagaan makanan bayi sedia dimakan.

Sementara itu, seorang peserta program Siti Khadijah Abu Bakar, 33 yang ingin mengusahakan perniagaan makanan bayi juga hadir ke seminar untuk menambah ilmu dan mencari inspirasi daripada wanita-wanita yang turut serta.

“Pendedahan sebegini penting untuk kita sedar bahawa sebenarnya di luar sana ada ramai wanita yang punya idea dan perniagaan yang hebat dan telah berjaya.

“Sebenarnya juga ada banyak bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), cuma kita sendiri harus pandai merebut peluang,” ujarnya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Malaysia Sabah.

Menurut Siti, idea untuk membuat makanan bayi tercetus bila ketika itu anaknya mula mengambil makanan pejal dan dia dapati agak sukar untuk mendapatkan makanan bayi yang sedia dimakan.

Tambahan pula, kebanyakkan ibu bapa akan memilih bubur ayam di restoran segera sebagai ganti jika mereka keluar beriadah atau berbelanja dan terlupa membawa atau kehabisan makanan bayi.

“Saya berharap agar mendapat bimbingan daripada pihak yang berkenaan untuk saya teruskan dan kembangkan perniagaan makanan bayi ini.

“Saya juga tiada kemahiran profesional untuk menyediakan makanan bayi, hanya belajar melalui Youtube dan Google sahaja sebelum ini berdasarkan keperluan anak.

“Sebelum ini saya juga menggunakan modal daripada simpanan sendiri, jadi saya juga mahu merebut peluang mendapatkan dana yang disediakan melalui Program CreaM@YWE,” katanya bersemangat.

Sharon menjadi jutawan di usia 25 tahun.

Sharon menjadi jutawan di usia 25 tahun.

Dalam pada itu, penceramah jemputan yang juga usahawan muda yang berjaya, Sharon Voo, 27 turut merasa gembira dapat memberi inspirasi serta motivasi kepada 150 peserta yang hadir.

“Hari ini saya tidak akan berkongsi tentang kemahiran atau teknik, lebih kepada dalaman kerana jika kita beri kemahiran yang hebat pun tetapi dalaman belum dilaraskan seseorang itu tidak akan boleh pergi jauh.

“Mula-mula saya akan fokus dan kenal pasti kepada kelebihan dan kelemahan peserta, kemudian akan membuat banyak aktiviti dan praktikal.

“Saya berharap selepas selesai program ini, semangat para peserta dapat ditingkatkan, dan mereka akan nampak harapan untuk berjaya,” kata Sharon.

Melalui perniagaannya Global Affiliate Junction Agency, Sharon telah menjadi seorang jutawan ketika berusia 25 tahun dan memimpin lebih 3000 usahawan di bawah syarikatnya.

Program CreaM@YWE dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Datuk Dr. Tarsiah Tz Taman yang berlangsung di Wisma Wanita.

Tarsiah berharap lebih ramai usahawan muda wanita dapat dibimbing dalam CreaM@YWE.

Tarsiah berharap lebih ramai usahawan muda wanita dapat dibimbing dalam CreaM@YWE.

Menurutnya, MPWS memperkenalkan Skim CreaM@YWE ini sebagai satu pelan tindakan menggalakkan lebih ramai usahawan-usahawan wanita muda di Sabah untuk mendapat peluang untuk menjayakan usaha mereka dalam sektor dan industri perniagaan.

Tambahnya, usahawan wanita muda berusia antara 18 hingga 35 tahun yang terpilih akan dilatih daripada perancangan, permulaan perniagaan, pengurusan dan pentadbiran, dan seterusnya mengembangkan perniagaan mereka ke taraf antarabangsa.

MPWS menyasarkan tiga hingga lapan usahawan wanita muda yang akan bergelar jutawan usahawan wanita muda menjelang 2020-2021.

Turut hadir dalam program tersebut, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita, Masnah Matsalleh.

SF

Tinggalkan komen anda