Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Kompleks ICQS Tebedu Bakal Dinaik Taraf

By 29 Disember 2017Januari 2nd, 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Β Laporan dan foto : Aishah Latip / Jaed Tepus (Sarawak)

SERIAN, 29 Dis (Malaysiaaktif) – Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju untuk membiayai bersama kos menaiktaraf atau pembinaan semula Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam menambah baik kemudahan yang sedia ada di kompleks berkenaan yang kini berusia 28 tahun dan tidak mampu lagi menampung keperluan semasa.

Zahid bersama-sama Abang Jo semasa sidang media.

Zahid bersama-sama Abang Jo semasa sidang media.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan kos sebenar projek pembangunan berkenaan, namun menyatakan satu jawatankuasa khas sudah dibentuk, yang dipengerusikan bersama Ketua Menteri bagi mengawal selia insiatif berkenaan.

Selain itu, sebuah pasukan teknikal turut ditubuhkan yang diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed bagi mengenalpasti segala kos berkaitan, termasuk kelengkapan dan peralatan tertentu untuk ditempatkan ICQS Tebedu.

“Kita menetapkan tempoh 60 hari untuk kertas kerja projek ini disiapkan, seterusnya dikemukakan kepada jemaah menteri (kabinet) untuk mendapatkan kelulusan dan peruntukan sedia ada,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kemudahan itu juga komponen terpenting bagi mengaktifkan semula Pelabuhan Darat Tebedu (TIP) bertujuan menggalakkan aktiviti dagangan rentas sempadan dan meningkatkan kapasiti dagangan di Pelabuhan Kuching.

Zahid ketika mengadakan lawatan di sekitar Kompleks Imigresen Tebedu dan CIQ Entikong.

Zahid ketika mengadakan lawatan di sekitar Kompleks Imigresen Tebedu dan CIQ Entikong.

“KDN juga akan mengkaji semula skop projek ICQS Tebedu yang diluluskan sebelum ini bagi memastikan ia memenuhi keperluan sebenar kompleks tersebut, terutamanya dalam konteks keselamatan, termasuk usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

“Dengan adanya kemudahan ini, kita menyasarkan kewujudan bandar sempadan, termasuk zon pertumbuhan ekonomi baharu yang mampu memberi impak positif kepada semua pihak, jelasnya lagi.

Ahmad Zahid dalam rangka lawatan kerja sehari ke Sarawak turut diiringi Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustaffar Ali dan Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Jahar Gultom.

– SH

Tinggalkan komen anda