Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Bentuk Minat Daripada Bapa

By 14 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Β Laporan/Foto : Azmi Abd. Rahman (Machang)

MACHANG, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Kebanyakan penduduk di sekitar daerah Machang khususnya penduduk di Kampung Pangkal Meleret, Machang sememangnya mengenali Mohd Izzul Syafiq Bin Zulkifli, 25, sebagai usahawan muda yang mengusahakan projek tanaman timun batang.

Mohd Izzul Syafiq menyatakan projek timun batang ini dimulakan pada tahun 2012 dengan bermodalkan RM10,000.

Mohd Izzul sedang mengasingkan timun mengikut gred.

Mohd Izzul sedang mengasingkan timun mengikut gred.

“Ispirasi untuk menceburi perusahaan tanaman ini diperolehi daripada bapa saya yang mengusahakan projek tembikai dan cili suatu ketika dahulu,” katanya.

Menurut Mohd Izzul, beliau telah menyewa tanah seluas hampir satu ekar dengan kadar RM600.00 setahun untuk dijadikan tapak projek timun batang ini.

Sedar akan keperluan mempelajari selok-belok mengusahakan tanaman ini, Mohd Izzul telah mengikuti kursus dan seminar yang dianjurkan oleh agensi kerajaan seperti Pertubuhan Peladang Kawasan, Jabatan Pertanian serta agensi-agensi yang berkaitan untuk mendapatkan lebih kefahaman tentang tanaman ini.

“Perusahaan timun batang ini saya usahakan sendiri tanpa memohon sumbangan modal dari mana-mana pihak, namun begitu saya menggunakan ilmu dalam perusahaan ini menerusi kursus-kursus yang diikuti,” katanya lagi.

Di tanah seluas hampir satu ekar inilah Mohd Izzul mengusahakan tanaman timunnya.

Di tanah seluas hampir satu ekar inilah Mohd Izzul mengusahakan tanaman timunnya.

Zainab Daud, 42, merupakan salah seorang pelanggan tetap yang membeli timun batang secara terus.

“Saya lebih suka mengunjungi terus kerana mendapat harga yang lebih murah berbanding harga di pasaran,” jelasnya.

Hasil tanaman timun batang Mohd Izzul mempunyai pasaran yang agak meluas dengan pemborong dari pasar borong dan pasar besar Machang akan mengambil sendiri di tapak tanaman.

Beliau turut berharap agar perusahaan timun batang yang diusahakannya ini dapat menembusi pasaran yang lebih besar pada masa hadapan.

-SH

Tinggalkan komen anda