Skip to main content
Berita TempatanSabah

Penghapusan COT Guna Suntikan Lebih Berkesan

By 14 Januari 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Umar Yusof / Foto: Al Umar Mohd Yusof (Sabah)

SEMPORNA, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Penggunaan kaedah baharu melalui suntikan bagi menghapuskan makluk perosak terumbu karang dikenali Mahkota Duri Crown of Thorns (COT)  lebih mudah dan menjimatkan kos.

Pengarah Perikanan Sabah, Dr.Ahemad Sade berkata para penyelam bagi program pembasmian mahkota duri kali ini akan menggunakan kaedah baharu iaitu dengan kaedah suntikan ubat terus kepada badan pemangsa.

“Kaedah ini lebih menjimatkan kos serta berkesan dan mudah untuk dilaksanakan.

Kaedah ini telah diuji sebelum ini di Pulau Terumbu Layang-layang dan didapati amat berkesan.

“Kaedah suntikan ini boleh menyebabkan kematian spesis COT dalam tempoh kurang dari 24 jam di dalam air tanpa diangkat ke atas daratan.

“COT yang telah mati biasanya akan dimakan oleh ikan-ikan lain yang berada di kawasan terumbu karang tersebut,” katanya.

3-5. Para penyelam yang berkerjasama pada program tersebut.

Para penyelam yang bekerjasama semasa program tersebut.

Program pembasmian mahkluk perosak terumbu karang tersebut disertai seramai 30 orang penyelam bertauliah daripada Jabatan Perikanan Sabah, Taman-Taman Sabah, Inno Resource Dev. Sdn Bhd dan Seahorse Advanture Sdn Bhd di sekitar perairan daerah tersebut.

Ahemad turut menyatakan kerjasama ini adalah bagi membersihkan kawasan terumbu karang yang diancam oleh mahkluk perosak tersebut.

“Tujuan Pembasmian ini dilakukan adalah untuk mengurus dan memastikan agar ekosistem terumbu karang yang ada di perairan Sabah khasnya di perairan Semporna sentiasa terpelihara,” katanya.

Jelasnya lagi, ekosistem terumbu karang memainkan peranan yang amat penting khasnya di persekitaran marin kerana menjadi tempat untuk pelbagai spesis ikan makan membiak, membesar dan berlindung.

“Di samping itu, ekosistem terumbu karang yang penuh dengan keunikan flora dan fauna akuatik serta keindahan semula jadinya dengan air yang jernih menjadi satu daya tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kematian terumbu karang yang disebabkan oleh COT ini berlaku di kebanyakan negara yang mempunyai ekosistem terumbu karang dan boleh mengakibatkan kemusnahan
sehingga 40% kawasan terumbu karang jika tidak dikawal,” ujarnya.

Tambahnya, tanpa kawalan dan
pembasmian COT ini boleh menyebabkan ekosistem terumbu karang akan terganggu sehingga menjejaskan sumber perikanan terumbu karang seterusnya turut menjejaskan industri pelancongan.

“Dahulunya kaedah pembasmian ini menggunakan kaedah pengumpulan dan diangkat ke daratan tapi kali ini kaedah suntikan digunakan,” jelasnya.

Operasi pembasmian COT fasa pertama ini dilaksanakan selama dua hari yang berakhir pada rabu turut melibatkan kawasan terumbu karang di perairan Singgahmata, Mantabuan dan Sibuan.

Operasi selama dua hari ini berjaya memusnahkan sebanyak 1,530 ekor COT.

Ahemad yang berucap di penutupan program tersebut pada Jumaat berharap usaha seumpama ini akan dapat terus dilaksanakan bagi mengawal ekosistem terumbu karang yang ada di perairan Sabah agar senantiasa sihat dan subur untuk terus menjadi salah satu sumber perikanan marin yang penting dan lestari serta menjadi tarikan pelancong untuk datang ke Sabah.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam program julung kalinya ini serta berharap komitmen dan kerjasama yang merupakan kesan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy @NBOS) ini dapat diteruskan dan ditingkatkan pada program kedua yang akan datang,” jelasnya.

SF

Tinggalkan komen anda