
Laporan: Norhafizah Abd Rahim (Kemaman) Foto : FB Kemaman Tular
KEMAMAN, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Enam sekolah di daerah ini terpaksa ditutup ekoran banjir yang melanda di beberapa buah kampung sejak beberapa hari lalu. Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gajah, SK RKT Seberang Tayor, SK Seberang Tayor, SK Padang Kubu, SK Bukit Mentok dan terbaharu SK Pusat.
Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman, gelombang banjir kali ini membabitkan dua daerah di Terengganu iaitu Kemaman dan Dungun.
“Sebanyak 14 PPS dibuka pada hari ini iaitu 2 PPS di daerah Dungun dan 12 lagi di daerah Kemaman. Seramai 1003 orang mangsa banjir dilaporkan setakat ini melibatkan 265 buah keluarga.” katanya.
Sebanyak 12 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah ini menempatkan seramai 751 mangsa banjir yang menunjukkan peningkatan seramai 677 orang berbanding semalam.
Fenomena air pasang besar dikatakan memburukkan lagi keadaan apabila banyak penempatan penduduk di muara sungai khususnya mula ditenggelami air.