Skip to main content
Berita TempatanSabah

Bedda’ Lotong Warisan Bugis Tambah Seri Mempelai

By 4 Januari 2018Tiada komen4 minit bacaan

Laporan & Foto: Fauzrina Bulka (Sabah)

TAWAU, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Bedda’ Lotong  merupakan rawatan lulur beras hitam yang dahulunya hanya dipakai oleh keturunan bangsawan raja-raja Bugis di Sulawesi Selatan bagi tujuan kecantikan dan kesihatan.

Demi mempertahankan warisan suku Bugis tersebut, lulur khas yang diperbuat daripada beras, limau nipis, bunga tujuh aura, daun-daun dan rempah-rempah wangi kini dikomersialkan agar dapat dinikmati khasiatnya oleh golongan biasa terutama sekali bakal mempelai.

Pemilik jenama lulur Bolong Scrub, Juhaini Haki, 38, yang juga merupakan jurusolek pengantin dan perancang perkahwinan telah memulakan perniagaan lulurnya sejak 2014 untuk diberikan kepada bakal pengantin yang memerlukan khidmatnya.

Bahan-bahan yang disangrai bersama bagi menghasilkan Bolong Scrub

Bahan-bahan yang disangrai bersama bagi menghasilkan Bolong Scrub

“Pada awalnya saya hanya berikan pada bakal-bakal pengantin sebagai pakej yang diambil bersama untuk persiapan perkahwinan mereka.

“Kemudian kawan-kawan pula ingin mencuba dan hasil perbualan mulut ke mulut akhirnya saya serius untuk menjadikannya sebagai produk jualan atas permintaan ramai.

“Mungkin selepas melihat keberkesanan produk ini ditambah lagi penggunaan bahan-bahan semulajadi menjadikan mereka yakin untuk turut mencuba,” ujarnya yang turut mempromosikan produknya melalui laman Facebook.

Produk yang diwarisi daripada neneknya dilakukan secara manual dengan menyangrai bahan-bahan selama dua hingga tiga jam tanpa henti sehingga beras menjadi hitam dan mempunyai jangka hayat selama lima tahun.

Jelasnya juga, lima kilogram beras dapat disangrai dengan menggunakan kuali biasa, yang akan menghasilkan lebih kurang 30 pek lulur kerana selepas digoreng, beras akan menjadi kembang dan ringan.

“Hanya saya dan ibu sahaja yang akan melakukan tugas menyangrai bahan-bahan bagi memastikan produk yang dihasilkan menepati piawaian seperti yang diajar nenek.

“Kawalan api sangat penting dalam proses membuat lulur ini kerana jika api terlalu besar, beras akan menjadi hangus manakala jika api kecil, beras akan menjadi kecut dan kasar.

“Api yang sederhana dan hasil yang tepat akan memudahkan beras mengembang dengan cantik dan mudah dioles ke muka atau sapu ke badan selepas direndam selama 15 ke 30 minit,” kata Juhaini.

Juhaini (kanan) sedang menyangrai sambil diperhati oleh ibunya

Juhaini (kanan) sedang menyangrai sambil diperhati oleh ibunya

Selain untuk membersihkan muka dan badan, bakal mempelai yang menggunakan Bolong Scrub ini dipercayai dapat membantu melancarkan peredaran darah selain mengandungi banyak vitamin C dan E sebagai antioksida dan penangkal radikal bebas.

Bagi menempuhi tahun baharu ini, Juhaini berazam untuk menambah bilangan agen produknya dan kerana itu dia perlu memikirkan cara untuk meningkatkan produksi produk tersebut.

Dengan itu, Juhaini sedang menyiapkan Rancangan Perniagaan (RP) untuk memohon geran pinjaman daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan modal dan mesin khusus untuk membantu usahawan.

“Saya sudah membuat tinjauan beberapa jenis mesin yang sesuai untuk digunakan tetapi harganya agak mahal sekitar RM7000.

“Mujur dalam Bajet 2018 yang diumumkan oleh Perdana Menteri ada memperuntukkan RM200 juta kepada usahawan bagi memperkasakan lagi ekonomi bumiputera seperti kami.

“Jadi saya berharap usahawan kecil seperti saya akan dapat menjadi pencetus kepada kejayaan perniagaan yang kami lakukan,” ujarnya.

Juhaini juga sering menyertai pelbagai kursus bagi memantapkan lagi perancangan perniagaannya dan mengembangkannya ke seluruh Malaysia.

Kebanyakan kursus yang disertai ialah anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan juga Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menawarkan yuran yang rendah kepada golongan usahawan ini.

“Saya hanya perlu membayar yuran berjumlah antara RM100 ke RM150 untuk menyertai kursus-kursus berkaitan perniagaan dan ada juga yang percuma.

“Tetapi kalau dilihat kos sebenar yang dianjurkan pihak swasta akan bernilai ribuan ringgit juga kerana termasuk sewaan hotel berserta makan dan minum.

“Dengan nilai yuran yang lebih rendah, kursus anjuran kerajaan sebenarnya banyak membantu usahawan kecil seperti saya untuk menambah ilmu dan penceramah juga pakar dalam bidangnya,”katanya.

Menurut Juhaini, walaupun telah banyak produk kecantikan berada di pasaran, tetapi dia lebih senang untuk memilih produk yang diperbuat daripada bahan semulajadi.

Setiap bungkusan ditimbang untuk mendapatkan berat yang tepat.

Setiap bungkusan ditimbang untuk mendapatkan berat yang tepat.

“Produk penjagaan kulit, badan atau rambut boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu produk semulajadi, organik dan bahan kimia sintetik.

“Saya yakin, antara kita sekurang-kurangnya menggunakan satu produk penjagaan kulit, badan atau rambut tetapi apabila kita hendak membeli, bagaimana kita membuat pilihan?

“Biasanya, pengguna membuat pilihan berdasarkan jenama, harga, keberkesanan, penilaian pengguna lain, bahan kandungan dan lain-lain.

“Dahulu, saya suka menggunakan produk berjenama tetapi kini saya memilih berdasarkan bahan kandungan pula,” jelas Juhaini.

Tambahnya, kelebihan menggunakan bahan semulajadi lebih baik kerana dapat meminimumkan kesan sampingan kerana tidak mengandungi bahan bahaya yang merosakkan kulit.

Katanya juga, produk semulajadi juga sesuai untuk pengguna yang mempunyai kulit sensitif bagi mengelakkan kegatalan, iritasi atau alergi pada kulit.

“Penggunaan produk semulajadi akan menjaga kulit dari dari bahayanya pencemaran bahan kimia. Biasanya pengguna produk semulajadi lebih awet muda berbanding pengguna kosmetik yang mengandungi bahan kimia berbahaya kerana boleh menyebabkan proses penuaan.

“Kita pakai produk kecantikan ini sebab mahu cantik, tetapi jangan sampai melupakan kesan jangka panjang, perlahan-perlahan berubah ke produk semulajadi dan mesra kulit. Cegah sebelum parah,”katanya.

-SF

Tinggalkan komen anda