
Laporan & Foto: Mohd Hafiz Mat Nor (Sabah)
TENOM, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Penganjuran sukan liga Futsal tertutup antara masjid atau surau di daerah Tenom pada Ahad berjaya mempelbagaikan dakwah Islamiah mendekati golongan belia di daerah berkenaan.
Usaha mempelbagaikan gerakan dakwah mendekati golongan belia ini bertujuan mengajak kumpulan sasar berkenaan untuk lebih mendekati Islam melalui sukan yang merupakan asas tercetusnya penganjuran Kejohanan Futsal Liga Riadah Masjid atau Surau Tertutup Daerah Tenom.

Antara pasukan yang menyertai kejohanan tersebut sebelum memulakan pertandingan akhir kejohanan tersebut.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Jamawi Jaafar berkata pendekatan yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Surau Kampung Entabuan ini adalah tepat dan amat baik kepada kepelbagaian dakwah terhadap belia.
“Hari ini, belia terlalu terdedah dengan pengaruh tidak sihat yang membawa mereka jauh daripada syiar Islamiah dan lebih berbahaya lagi apabila kumpulan ini terpengaruh dengan kumpulan ekstrem Islamiah yang tidak mencerminkan Islam itu sendiri.
“Sehubungan itu, pendekatan sukan yang merupakan aktiviti utamanya yang diguna pakai mendekati kumpulan ini adalah tepat untuk mengajak belia mendekati, memahami dan seterusnya mengamalkan Islam sebaiknya.
“Oleh itu, saya amat menyokong sepenuhnya usaha jawatankuasa masjid ini dan usaha ini wajar diteruskan pada masa akan datang dan bagi penganjuran tahun akan datang surau lain pula akan menjadi tuan rumah,” katanya semasa merasmikan penganjuran Kejohanan Liga Futsal Riadah Masjid atau Surau Tertutup daerah berkenaan pada Ahad.
Cetusan idea JawatanKuasa Surau Kampung Entabuan ini mendapat sambutan menggalakkan dan penganjuran ini berjaya menarik penyertaan sebanyak sembilan pasukan yang mengambil bahagian dalam merebut kejuaraan yang diadakan buat julung kalinya.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari ini akhirnya dimenangi oleh Surau Ar-Rahim yang membawa pulang piala kejohanan dan medal.
–SF