Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Perkhidmatan KTM Komuter 3 Hari 2 Malam Sempena Thaipusam

By 24 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan Foto oleh: Azhar Yazid & Halim Aman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Malaysiaaktif) – “Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui perkhidmatan tren KTM Komuter akan beroperasi selama tiga hari dua malam bermula 30 Januari hingga 1 Februari 2018 (Selasa hingga Khamis) sempena sambutan Thaipusam 2018”.

Pengurus Besar Operasi KTM Berhad, S. Mahendran berkata demikian pada sidang media berkenaan Perkhidmatan Komuter tiga hari dua malam Sempena Thaipusam 2018, di sini hari ini.

“Perkhidmatan ini disediakan bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khususnya penganut agama Hindu serta para pelancong untuk ke Batu Caves,” katanya.

Menurut S. Mahendran, KTM akan melanjutkan waktu perkhidmatan sedia ada yang terakhir dengan menyediakan tren tambahan antara pukul 10.50 malam hingga 5.30 pagi.

“Manakala jadual perkhidmatan KTM Komuter pada 31 Januari dan 1 Februari adalah mengikut jadual waktu hari bekerja biasa”, katanya.

Jelas Mahendran, tahun ini merupakan tahun ke-53 perkhidmatan tren Komuter tambahan ke Batu Caves.

“Jumlah keseluruhan perkhidmatan tren untuk tempoh tiga hari dua malam adalah sebanyak 783 perkhidmatan berbanding hari biasa sebanyak 539 perkhidmatan.

“Seramai 400 orang kakitangan KTM Berhad dijadualkan bertugas bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan penumpang dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan St. John Ambulance,” katanya lagi.

S. Mahendran menasihatkan pengguna komuter untuk menaiki perkhidmatan ‘tren shuttle’ hingga ke stesen Sentul, kemudian menaiki bas shuttle yang disediakan secara percuma untuk ke Stesen KL Sentral bagi mengurangkan kesesakan di stesen-stesen utama.

“Para pengguna perkhidmatan tren KTM komuter perlu menggunakan Kad Komuter Link atau Touch n’ Go untuk ke/dari Stesen Batu Cave sepanjang tempoh perkhidmatan tiga hari dua malam tersebut.

“KTM Komuter akan memberikan Kad Komuter Link Dewasa dan Konsesi secara percuma dan kad ini perlu ditambah nilai serendah RM3.00,” jelasnya.

S. Mahendran menjelaskan tambang konsesi sebanyak 50 peratus untuk warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), pelajar serta kanak-kanak berumur dua tahun hingga enam tahun dan percuma untuk kanak-kanak berumur bawah dua tahun.

“Perkhidmatan terus KTM Komuter dari Batu Caves ke Pelabuhan Klang dan sebaliknya turut akan dilaksana selama tempoh promosi ini dijalankan,” katanya.

Dari kiri, Meyor Hamdan Meyor Mohamad, S. Mahendran dan Khair Johari Ishak

Dari kiri, Meyor Hamdan Meyor Mohamad, S. Mahendran dan Khair Johari Ishak

Pihak KTMB juga memberi peringatan kepada orang ramai bahawa tiada perkhidmatan tren tambahan dari laluan stesen Rawang ke Tanjung Malim dan sebaliknya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan jadual waktu perkhidmatan tren sempena Thaipusam 2018 melalui laman sesawang KTM Berhad di www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di talian 03-2267 1200 atau twitter @ktm_berhad.

Turut hadir, Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter KTMB, Khair Johari Ishak dan Pengurus Besar Keselamatan KTMB, Meyor Hamdan Meyor Mohamad.

– AH

Tinggalkan komen anda