
Laporan : Wan Shahilawati Wan Baharuddin Foto : Robani Nabi Ahmad
KOTA BHARU, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Masalah hakisan tebing sungai yang semakin ketara dan menyebabkan rakyat negeri kelantan berhadapan dengan banjir setiap tahun akan tamat dengan mendapat faedah Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) fasa 1.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, seramai 100,000 penduduk akan mendapat manfaat daripada projek tersebut.
“Saya tidak mahu lihat rakyat menderita dan setiap pembangunan adalah untuk semua dan tiada yang ketinggalan.
“Projek ini diharap dapat menamatkan mimpi ngeri banjir 2014, dan sebagai pemimpin saya wajib membela rakyat tanpa mengira fahaman politik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Majlis Pecah Tanah Projek Lembangan Sungai Bersepadu sungai Kelantan fasa 1 hari ini.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata PLSB melibatkan anggaran kos keseluruhan projek sebanyak RM9.6 billion.
“Perlaksanaan inftrastruktur ini terdiri daripada empat komponen utama iaitu komponen Rancangan Tebatan Banjir (RTB), Pengindahan Sungai, Saliran Mesra Alam dan Keseimbangan Air.
“PLSB sungai Kelantan fasa 1 ini dijangka melibatkan 95,000 penduduk di jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah dan Machang tidak perlu dipindahkan akibat banjir lagi,” jelasnya.
Projek PLSB fasa 1 ini juga dipercayai dapat mengurangkan masalah banjir kilat, limpahan air sungai dan jumlah sampah di dalam sungai dapat dikurangkan.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.