Skip to main content
Berita TempatanLabuanWilayah Persekutuan

Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030: Warga Labuan Beri Reaksi Positif

By 20 Januari 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan Oleh: MD Khairul Azad Yunus/Foto: Jeffrey Nian/Azraf  Afandy Azlan/ Saiful Nizal

LABUAN, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Rata-rata warga Labuan yang ditemui menyambut baik dan memberi reaksi positif pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030 iaitu pelan pembangunan hala tuju ekonomi pulau bebas cukai Labuan, pada Khamis.

Shafizan Sukiman,32, berkata pengumuman Perdana Menteri tentang kajian kaedah perlaksanaan jambatan yang menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah merupakan pendekatan terbaik dalam membangunkan Labuan dalam jangka masa panjang.

Shafizan Sukiman

Shafizan Sukiman

“Saya amat bersetuju perlaksanaan projek jambatan kerana mampu memacu Labuan menjadi pusat perdagangan serantau yang terulung selain menjanjikan pelbagai lagi manfaat yang menguntungkan rakyat pulau ini,” katanya.

Shafizan juga menyokong penuh pembinaan litar lumba motosikal yang boleh membangunkan sukan permotoran dalam kalangan anak muda serta mengurangkan masalah ‘mat rempit’ di Pulau itu.

Sementara itu, peniaga, Teo Lim Lai, 56, sangat menghargai langkah kerajaan melancarkan Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030 yang menyentuh denyut nadi rakyat Labuan.

Teo Lim Lai

Teo Lim Lai

“Inilah sebuah kerajaan yang prihatin  kerana selain pengumuman ini pelbagai pembangunan juga dilaksanakan sebelum ini dan ini menambah keyakinan rakyat untuk terus bagi sokongan kepada mereka.

“Masa depan Labuan akan pulih secara berperingkat dengan adanya pengumuman itu dan dengan sokongan rakyat saya yakin kita akan melihat perubahan positif dalam masa lima tahun akan datang,” jelasnya.

Bagi seorang pesara polis, Hussin Salleh, 68, Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030 merupakan suatu pengumuman yang dinanti-nantikan warga Labuan.

Hussin Salleh

Hussin Salleh

“Perkembangan ini amat bagus untuk rakyat dan kita bersyukur serta beruntung dengan pelbagai projek pembangunan yang terkandung dalam Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030.

“Saya harap semua projek yang diumumkan terutamanya jambatan akan siap seperti yang dirancang untuk memberi manfaat kepada anak cucu kami selain mengembalikan kegemilangan Labuan,” kongsinya.

Selain Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030, Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan 500 unit  Perumahan Rakyat (PPR) dan 160 unit Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang pertama di Labuan.

Pengumuman itu turut mendapat respons yang menggalakkan daripada warga Labuan antaranya seorang penjawat awam, Mazlin Mohd, 37.

“Saya amat sokong pengumuman Perdana Menteri tentang PPA1M kerana akan memberi peluang kepada penjawat awam di Labuan untuk memiliki kediaman sendiri memandangkan kawasan tanah yang terhad di pulau ini.

“Peluang ini tidak akan dilepaskan penjawat awam lebih-lebih lagi inilah pertama kali PPA1M diperkenalkan di Labuan,” katanya selepas membuat pendaftaran permohonan PPA1M.

Rosnah

Rosnah Bustarin

Dalam pada itu, Rosnah Bustarin, 35, yang masih menyewa rumah dengan harga RM450 sebulan tidak melepaskan peluang mendaftarkan diri untuk projek PPR.

“PPR memang sesuai kepada golongan berpendapatan rendah dan dengan sewa yang rendah iaitu RM124 sebulan kami mampu menjimatkan perbelanjaan keluarga setiap bulan,” katanya.

Bagi Ketua Kampung Sungai Bangat, Labuan, Osman Dullah, pengumuman Perdana Menteri itu ialah perkara terbaik dan tepat pada masanya kerana mampu merealisasikan hasrat rakyat Labuan.

“Melaksanakan janji dengan membina jambatan amatlah dinantikan oleh rakyat dan beliau satu-satunya Perdana Menteri yang benar-benar mengambil serius dengan permintaan paling besar rakyat di pulau yang kita cintai ini.

Osman Dullah

Osman Dullah

“Pelaksanaan PPR dan PPA1M juga tepat pada masanya kerana orang Labuan amat memerlukan kediaman yang mampu milik dan inilah yang dikatakan janji ditepati dan rakyat didahulukan,” latanya yang hadir bersama kira-kira 15 ribu warga Labuan di Dataran Labuan, kelmarin.

Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030 merupakan Pelan pembangunan yang direka khas untuk metransformasikan landskap ekonomi secara total Labuan itu menggariskan kepada tiga fokus utama iaitu pembangunan ekonomi, sosial dan fizikal.

Antara projek berimpak tinggi yang dimasukkan dalam rangka tindakan pembangunan itu adalah cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah melalui Menumbok.

Najib pada majlis itu turut berharap rangka tindakan pembangunan Labuan itu akan mengenal pasti projek-projek yang boleh menyumbang kepada kadar pertumbuhan pulau ini dan memberi keselesaan rakyat Labuan.

SF

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda