Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

136 Peserta Mobilepreneur@KKLW Terima Motosikal

By 15 Februari 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

LAPORAN : Asmidar Zainol / FOTO :  Gimpas @James Ghani (Sabah)

 

KOTA KINABALU, 14 Feb. (Malaysiaaktif) – Mobilepreneur@KKLW atau Program Usahawan Bergerak merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk membantu golongan belia luar bandar.

Bantuan berkenaan adalah bagi membantu belia yang berkemahiran menjalankan perniagaan atau perkhidmatan dengan modal permulaan yang rendah tanpa perlu membuka atau menyewa premis perniagaan.

UBAH KEHIDUPAN

Muhd Ridzuan Rasman berhasrat untuk membantu masyarakat pendalaman di kampungnya

Muhd Ridzuan Rasman berhasrat untuk membantu masyarakat pendalaman di kampungnya

Mohd Riduan Rasman,33, bersyukur kerana dipilih sebagai peserta program yang dapat mengubah kehidupannya pada masa depan.
“Pada masa sekarang saya bekerja sebagai petani, dengan peluang yang diberikan oleh kerajaan ia bukan sahaja dapat membantu menambah pendapatan keluarga saya tetapi secara tidak langsung membantu masyarakat pendalaman agar tidak perlu ke bandar yang terletak 40 hingga 50 kilometer untuk membaiki motosikal.

“Insyallah dengan adanya saya di kampung nanti, ini dapat meringankan beban perbelanjaan dan menjimatkan masa mereka untuk membaiki kenderaan mereka,” jelasnya.

Bapa kepada empat orang anak itu, berharap perkhidmatannya akan mendapat membantu membiayai persekolahan anak-anaknya pada masa hadapan.

“Adalah menjadi impiannya untuk membuka kedai menjual alatan ganti motosikal di Kampung Tenggalun Jaya, Sook bagi membantu orang kampung agar tidak perlu keluar jauh di pekan membaiki atau mendapatkan alat ganti motosikal.

“Dalam program ini, saya menerima peruntukan bernilai RM10 ribu yang merangkumi sebuah motosikal yang dipasang kotak peralatan, kotak kelengkapan membaiki motosikal serta kursus jangka masa pendek untuk belajar bagaimana memulakan perniagaan, promosi dan sebagainya,”ujarnya.

Dia turut berkata harga perkhidmatannya adalah berpatutan bergantung kepada perkhidmatan dan kerosakan motosikal tersebut.

 

NILAI TAMBAH PERNIAGAAN 

Aida Suzanna Pansai mendapat sokongan keluarga.

Aida Suzanna Pansai mendapat sokongan keluarga.

Sementara itu, Aida Suzanna Pansai, 41, dari Keningau bersyukur kerana terpilih sebagai peserta program berkenaan.

“Saya sangat gembira dipilih untuk menyertai program ini dan berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang dan sumbangan dalam usaha meningkatkan pendapatan belia di kawasan pendalaman.

“Saya memilih perkhidmatan fotografi kerana ingin mengembangkan dan memberi nilai tambah kepada perniagaan sedia ada iaitu butik perkahwinan dan kedai mengunting rambut di Keningau.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu kami di kawasan pendalaman meningkatkan ekonomi keluarga dan juga negara amnya,”ujarnya pada Majlis Penyerahan Mobilepreneur@KKLW Peringkat Negeri Sabah di dataran Bangunan UMNO pada selasa.

Aida menerima sebuah motosikal dan satu set kamera sebagai permulaan sebagai jurufoto di tempatnya.

 

KURANG KOS PERKHIDMATAN

Muhd Khairul Nizam Tuah, bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan.

Muhd Khairul Nizam Tuah, bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan.

Bagi satu-satunya peserta perkhidmatan Elektronik, Muhd Khairul Nizam Tuah, 23, dia memilih untuk memberikan perkhidmatan membaiki telefon bimbit secara mobil.

“Sebelum ini saya menggunakan kereta untuk memberi perkhidmatan yang kos perjalanan turut dikenakan kepada pelanggan.

“Dengan adanya motosikal Mobilepreneur@KKLW kos berkenaan dapat dikurangkan dan mungkin juga selepas ini pelanggan tidak perlu membayar kos perjalanan nanti.

“Sebenarnya perkhidmatan membaiki dan menjual aksesori telefon bimbit amat menguntungkan dan saya menyeru lebih ramai peserta untuk menjalankan perkhidmatan membaiki telefon bimbit ini,”katanya.

Khairul Nizam turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana melalui program berkenaan dia dapat membantu dari segi peralatan yang cukup dan dapat memantapkan lagi perkhidmatan membaik pulih telefon bimbit.

MOBILEPRENEUR@KKLW 

Sebanyak 13 bidang perkhidmatan yang ditawarkan dalam program berkenaan antaranya, perkhidmatan automotif, elektrik, penyaman udara, spa & kecantikan, jahitan, gunting rambut & dandanan, motosikal, kimpalan, komputer, fotografi, elektronik, senggaraan paip dan senggaraan bangunan.

Musa (kanan) bersama Menteri KKLW Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob (kiri) menunjukkan isyarat bagus selepas melancarkan gimik perasmian.

Musa (kanan) bersama Menteri KKLW Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (kiri) menunjukkan isyarat bagus selepas melancarkan gimik perasmian.

Antara syarat untuk menyertai program berkenaan adalah, warganegara Malaysia; berumur 18 hingga 45 tahun dan tinggal di luar kawasan bandar, memiliki lesen motosikal kelas B2, Mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 (SKM) atau memiliki Sijil Kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia atau mempunyai pengalaman melebihi enam bulan yang telah disahkan oleh majikan atau ketua kampung berserta sijil kursus jangka pendek dan mengekalkan syarat SKM II kepada perkhidmatan automatif, penyaman udara dan elektrik.

Seramai tiga ribu peserta dari seluruh Malaysia telah dipilih menyertai program berkenaan dan 291 daripadanya merupakan peserta daripada negeri Sabah dan baki 155 peserta akan menerima motosikal mereka pada masa terdekat oleh Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

 

-MRR

Tinggalkan komen anda