
LAPORAN : Idris Sani Saberun / FOTO : Jeffren Malaning (Sabah)
KOTA KINABALU, 14 Feb. (Malaysiaaktif) – Agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW Sabah) digesa untuk kerja lebih efisien bagi memastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) terus kekal memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
Menurut Menteri KKLW, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, agensi dibawah KKLW seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di negeri ini merupakan barisan hadapan kerajaan yang menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat.
“Saya berharap agar agensi yang mempunyai hubungan terus dengan rakyat untuk terus memainkan peranan mendekati rakyat.
Ini kerana, KKLW mempunyai tanggungjawab yang besar kerana peranannya hampir dan selalu berhubung dengan rakyat.
Sebagai barisan hadapan, kita mesti bertekad untuk memastikan kerajaan BN untuk terus kekal memerintah Sabah pada PRU akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2017 KKLW di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Selasa.

Ismail Sabri (empat kiri) menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 kepada Penolong Jurutera Gred JA29, Pejabat KKLW Negeri Sabah, Rosdahari Bin Muaram (kanan)
Seramai 229 kakitangan serta agensi di bawah KKLW – Zon Sabah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2017.
Daripada jumlah tersebut, tiga kakitangan KKLW Sabah menerima pengiktirafan APC 2017 manakala KEMAS 172 penerima, MARA 35 orang manakala 19 orang penerima daripada RISDA.
Majlis Perkhidmatan Cemerlang KKLW 2017 merupakan penganjuran tahun ke tiga secara kolaborasi antara jabatan dan agensi di bawah KKLW yang dilaksanakan secara berpusat melibatkan tiga zon iaitu Zon Semenanjung, Zon Sarawak dan Zon Sabah.

Pemaju Masyarakat Gred S29, Pejabat KEMAS Dearah Tenom, Albina Paumie (dua kanan) menerima Sijil APC 2017 daripada Ismail Sabri sambil disaksikan Borhan (tiga kanan) dan Ketua Pengarah KEMAS, Amiruddin Ariffin (dua kiri)
Amalan penganjuran majlis secara berpusat ini bermatlamat untuk meningkatkan kerjasama dan persefahaman di antara agensi di bawah KKLW serta mengelakkan kerja bersendirian (working in silo)antara jabatan bagi merealisasikan matlamat utama KKLW iaitu “Membandarkan Luar Bandar”.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Borhan Dollah, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Amiruddin Ariffin, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Ahmad Shabri dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.
-MRR