
Laporan dan foto : Siti Noor Asmani Che Mat Saleh (Tumpat)
TUMPAT, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 818 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Biji Wangsa menerima Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M) hari ini bertempat di dewan sekolah tersebut yang bernilai RM100 setiap seorang.
Menerusi Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebanyak RM328 juta diperuntukkan oleh kerajaan bagi meneruskan bantuan awal persekolahan dan ianya dijangka dapat dimanfaatkan kepada lebih kurang 3.2 juta murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan seluruh negara.
Menurut Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Haji Mohd Rosdi Abd Aziz, Kerajaan Persekutuan sentiasa menjaga pelajar sekolah dengan memberi pelbagai bantuan seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT), dan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP).
“Tidak kurang juga bantuan kepada rakyat menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), insentif penjawat awam, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan banyak lagi seperti yang terkandung dalam Bajet 2018,” jelasnya
Seorang penerima, Noraha Husin, 53, dari Kampung Dalam Rhu menyifatkan kerajaan sekarang adalah yang terbaik kerana prihatin dengan rakyat.
“Walaupun nilainya kecil tapi tiada siapa yang akan bagi begitu sahaja. Seharusnya kita bersyukur dan berterima kasih dengan adanya bantuan ini yang diterima setiap tahun,” katanya lagi.
Bagi Fauzi Abdullah, 52, yang tinggal di Kampung Sedar berkata sudah banyak jasa yang dihulurkan oleh kerajaan hingga tidak terkira.
“Terima kasih kepada kerajaan dan bantuan ini akan pakcik gunakan untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak seperti membayar yuran dan lain-lain,” katanya.
– SH