
Laporan dan foto oleh : Wenny Di Tian Soh (Sabah)
KENINGAU, SABAH, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Golongan Ibu Tunggal di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Sook kembali ceria setelah menemui jalan keluar daripada belenggu kesusahan apabila Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) turun padang untuk membantu.
Timbalan Pengarah JHEWA, Hajah Myrna Jimenez berkata JHEWA sentiasa mengambil berat permasalahan dalam kalangan ibu tunggal di negeri ini yang berhadapan pelbagai permasalahan hidup setelah ketiadaan suami.
“Dugaan sebagai ibu tunggal memang berat, oleh itu JHEWA turun padang berjumpa dan mendekati mereka untuk mendapatkan maklumat lengkap.
“Maklumat yang diperoleh digunakan sebagai asas untuk menjalankan pelbagai program untuk membantu mereka memulakan kehidupan yang lebih baik.
“Pelaksanaan turun padang melalui program dialog bersama golongan terbabit membolehkan kami mendapatkan gambaran dan maklumat tepat tentang apa sebenarnya yang diperlukan ibu tunggal di sesuatu kawasan.
“Melalui maklumat ini kami akan mengadakan beberapa program, khusus untuk mereka bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi,”jelas beliau apabila ditemui pada program dialog bersama golongan terbabit di Daerah Kecil Sook pada Isnin.
Peserta, Ivy Francis, 40, dari Kampung Delayan Baru, Sook, berkata, program seperti ini sangat baik dan memberi manfaat, selain memberikan jalan untuk meluahkan pandangan, di samping memperoleh maklumat dan pengetahuan untuk meningkatkan taraf hidup.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Karamatoi Laut, Sook, Feritus Takapan, berkata, tiba masanya pihak yang berkaitan turun padang untuk melihat sendiri permasalahan golongan ibu tunggal di kawasan ini.
“Kerajaan perlu membantu golongan ibu-ibu tunggal ini sama ada melalui sokongan moral, bantuan kewangan, mahu pun modal untuk memperbaiki taraf hidup mereka,”ujarnya.
Tambahnya lagi, terdapat juga ibu tunggal yang mengalami keperitan akibat ditinggalkan suami dan terpaksa menyara anak dan keluarga sendiri tanpa pendapatan yang tetap.
Oleh itu, beliau berharap agar program yang diadakan ini perlu terus dilaksanakan untuk melihat perkembangan mereka.
Majlis Dialog bersama Ibu Tunggal anjuran JHEWA dengan kerjasama Pejabat Daerah Kecil Sook ini mendapat sambutan amat baik daripada masyarakat di daerah Kecil Sook.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, Datuk Ellron Alfred Angin turut mengajak golongan tersebut supaya terus yakin dengan kepimpinan kerajaan yang sentiasa komited membela dan membantu masa depan ibu tunggal.
Ellron berkata, wanita atau ibu tunggal di daerah ini, khususnya, DUN Sook diseru supaya terus berusaha dan mendekatkan diri dengan pelbagai program yang dianjurkan kerajaan ke arah meningkatkan kemahiran ibu tunggal dalam pelbagai bidang sebagai usaha meningkatkan ekonomi sendiri.
“Ilmu dan bantuan yang diperoleh mampu mengubah kehidupan mereka dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan sosio-ekonomi daerah ini.
Ellron berkata demikian semasa merasmikan program dialog bersama ibu-ibu tunggal di Dewan Masyarakat Daerah Kecil Sook pada isnin.