Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Kanser, Jom Cegah!

By 20 Februari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan Oleh : Rose Rasidi

 

ALOR SETAR, 20 Feb (Malaysiaaktif) – “Saringan mamogram penting untuk mengenalpasti tanda-tanda awal kanser payudara,” ujar Pakar Radiologi, Doktor Norfadzilah Ibrahim semasa menyampaikan taklimat bersama warga Alor Setar di Kedah Medical Centre (KMC).

Tambahnya lagi, kepada individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser payudara perlulah membuat saringan mamogram setiap tahun, manakala jika tiada sejarah keluarga digalakkan setiap 2 tahun. Golongan wanita dalam lingkungan umur 40 tahun ke atas digalakkan membuat ujian saringan mamogram kerana amat berisiko menghidapi kanser payudara.

IMG-20180220-WA0080

Seminar anjuran Bahagian Radiologi KMC Alor Setar yang bertemakan “Kanser, jom cegah! -Kanser Payudara Bukan Penamat Riwayat Wanita” ini telah dihadiri oleh penjawat awam dan swasta tanpa mengira gender bagi memberi penerangan tentang bahayanya penyakit ini kepada manusia terutamanya wanita yang berpontensi tinggi untuk menghidapinya.

Nor Anizan Omar, 39, peserta seminar berkata, “penting untuk kami golongan wanita terutamanya mengetahui tentang langkah-langkah yang patut kami ambil untuk mengenalpasti tanda awal kanser ini dan cara untuk mendapatkan rawatan.”

Manakala menurut Wan Sariati Wan Salim, 33, berkata, “penerangan ini memberikan saya panduan untuk saya tingkatkan lagi penjagaan kesihatan agar kanser ini dapat dicegah.” Beliau juga menyatakan bahawa program seperti ini patut diadakan lagi untuk sentiasa memberi maklumat tepat dan kesedaran kepada masyarakat terutamanya wanita.

IMG-20180220-WA0081

Hadir bersama dalam menyampaikan taklimat ini ialah Pakar Radiologi, Doktor Abdul Rahman Mohd Ariff. Kedua-dua pakar menerangkan secara mendalam malalui kaedah saintifik, bagaimana ujian mamogram dan ultrasound dilaksanakan, mengenalpasti bentuk kanser yang terhasil, kaedah mengenalpasti kanser payudara dan lain-lain info yang menarik.

Kerajaan amat prihatin dengan masalah kanser payudara yang membelenggu wanita. Oleh itu, program subsidi mamogram dan vaksinasi HPV telah diwujudkan pada tahun 2007 dan dilaksanakan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Selain hospital kerajaan, jika individu ingin mendapatkan khidmat di pusat kesihatan yang lain, KMC merupakan salah sebuah pusat kesihatan yang menyediakan khidmat saringan mamogram dalam lingkungan harga RM99 dan pakej saringan mamogram berserta ultrasound ialah RM139, harga yang sangat berpatutan.

Maka, jadilah masyarakat yang prihatin dengan kesihatan diri anda. Hidup sihat, produktiviti meningkat!

– MRR

Tinggalkan komen anda