Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Seni Foto Serlah Keindahan Masjid Bandaraya KK

By 20 Februari 2018Tiada komen4 minit bacaan

 

 

LAPORAN      :          Yahya Abdul Rajak / FOTO : Azman Jumat (Sabah)

 

KOTA KINABALU, 19 Feb. (Malaysiaaktif) – Pertandingan fotografi bersempena sambutan hari ulang tahun Masjid Bandar Raya Kota Kinabalu (MBR)

kali ke-18, berjaya menyerlahkan keindahan Masjid berkenaan sebagai suatu lokasi wajib kunjung di negeri ini.

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang sering dikaitkan terhadap beberapa unsur persamaan seperti Masjid Nabawi Al-Munawwarah di Madinah ini tentunya menjadi tarikan pelancong untuk datang dan melihat sendiri keindahan seni binanya.

Syed Mohd Farid Syed Husin.

Syed Mohd Farid Syed Husin.

Pengarah Karnival Belia MBR, Syed Mohd Farid Syed Husin berkata keindahan masjid yang terletak di kawasan persisiran pantai dengan landskap yang indah ini perlu dikongsi semua lapisan masyarakat.

 

“Bagi yang datang ke sini kecantikan ini pasti dapat dirasai bersama tetapi bagi yang jauh perkongsian melalui paparan imej gambar suatu yang dinantikan yang akhirnya melahirkan rasa keterujaan untuk datang ke sini.

“Oleh itu, sebagai usaha mewujudkan keterujaan berkenaan, maka bersempena ulang tahun MBR tahun ini, kami Syukbah Belia Dan Remaja masjid ini terpanggil untuk mengadakan pertandingan berkenaan yang julung kalinya pada tahun ini,” katanya.

Tambahnya lagi, penyertaan terhadap pertandingan ini amat menggalakkan, walaupun terdapat ramai peserta tidak dapat menyertai disebabkan kelewatan menyerah foto yang diambil berikutan tarikh tutup bertembung dengan perayaan Tahun Baharu Cina, tetapi ia bukan halangan.

Menyentuh Soal sambutan karnival berkenaan, Farid menyatakan amat berpuas hati atas sambutan masyarakat yang hadir memeriahkan program tersebut selain kehadiran para pelancong yang juga di luar duga menambah memeriahkan lagi karnival ini.

Jelasnya, penganjuran ini adalah lebih bertujuan sebagai pengisian aktiviti kalangan belia dan remaja agar sentiasa dekat dengan masjid selain mengenali dan memahami peranan sebenar masjid sebagai pusat maklumat syiar Islam itu sendiri.

Norasmah Abdul Rashid.

Norasmah Abdul Rashid.

 

Penyelaras Pertandingan fotografi, Norasmah Abdul Rashid berkata, pertandingan foto ini selain sebagai mempromosi keindahan MBR, ia juga suatu usaha memberi perkongsian minat kalangan belia terhadap dunia fotografi.

“Hari ini, belia dan remaja amat berminat merakam gambar baik menggunakan gajet atau kamera khusus.

“Oleh itu, bagi menggalakkan lagi minat berkenaan ada baiknya kami buka kepada penyertaan belia dan remaja untuk merakamkan gambar mengenai keindahan dan kecantikan MBR.

“Secara tidak langsung, ia menarik golongan berkenaan untuk hadir ke masjid dan seterusnya berkongsi minat dalam foto untuk memperlihatkan cantiknya masjid bukan hanya pada gambar tetapi pada peranan yang dimainkan sebagai sebuah pusat dakwah Islamiah,” jelasnya.

 

Agous bersama gambar para pemenang pertandingan foto tersebut.

Agous bersama gambar para pemenang pertandingan foto
tersebut.

Bersetuju dengan pendapat tersebut, Juri Profesional, Agous S.K berkata, pelaksanaan pertandingan ini amat baik dan bertepatan sebagai medium menarik belia dan remaja dekat kepada masjid melalui foto.

“Keseluruhan foto yang dihasilkan agak kreatif dan wajar diberikan kredit, namun masih banyak elemen yang perlu diberi penekanan terutama penggunaan kamera.

“Mungkin program akan datang sebelum pertandingan dimulakan, ada baiknya diadakan bengkel atau taklimat asas terhadap penggunaan sesebuah kamera agar peserta lebih yakin menghasilkan foto yang lebih menarik, cantik dan berkualiti,” ujarnya lagi.

 

 Azman bersama gambar para pemenang pertandingan foto tersebut.

Azman bersama gambar para pemenang pertandingan foto
tersebut.

Seorang lagi juri profesional daripada Jabatan Penerangan Malaysia Sabah, Azman Jumat berkata, gambar yang dihasilkan pada pertandingan ini menunjukkan peserta faham tema yang diberi iaitu Masjid Bandar Raya KK.

“Namun menilai sesebuah gambar, peserta perlulah berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan sentimen semasa, di mana saya mengambil kira kreativiti mengikut trend masa kini tanpa mengabaikan teknikal asas Fotografi yang sebenarnya.

“Manipulasi gambar yang terlampau akan ditolak secara terus untuk memudahkan pengiraan markah. Kelogikan juga diambil kira di mana ada juga yang cuba-cuba menokok tambah gambar yang tidak wujud. Ini pertandingan fotografi sebenar , bukannya pertandingan manipulasi grafik seperti teknik ‘superimpose’,” jelasnya.

Tambahnya lagi, seorang jurufoto tersebut akan lebih mahir bermain dengan kamera jika ia dapat memahami dan menguasai elemen asas fotografi.

“Kefahaman apa itu ‘bokeh’ serta ‘Apertur’ dan bagaimana fungsinya menjadikan sesuatu imej itu lebih tajam.

“Seseorang jurugambar pasti faham ada lensa yang tidak dapat menghasilkan ‘bokeh’ yang cantik, begitu juga kelajuan dan ISO,” ujarnya.

Jelasnya lagi, ada kamera yang boleh mencapai kelajuan pengatup yang amat laju dan boleh diubah ke-30 minit atau lebih, bergantung pada jenis kamera.

“Begitu juga dengan ‘ISO’ atau sensitiviti ‘sensor’ kepada cahaya, ada yang serendah ISO 50 dan sehingga puluhan ribu sensitiviti ISO.

 

Agous (kanan) dan Azman (kiri) sedang melakukan penilaian terhadap foto yang diterima.

Agous (kanan) dan Azman (kiri) sedang melakukan penilaian terhadap foto
yang diterima.

“Kalau ada kamera berjenama tapi tidak tahu asas foto ketika menggunakannya, ia hanya sekadar foto sahaja.

“Apa yang lebih penting, kita selesa dengan gear yang diguna dan butang pintas yang ada pada setiap kamera kerana setiap kamera adalah berbeza-beza,” luah Azman pada perkongsian tersebut.

Penganjuran selama tiga hari bermula 16 Februari lalu, johan pertandingan tersebut, Muhammad Bahri Affendy  berjaya membawa balik hadiah bernilai RM500, naib johan turut menerima sejumlah RM300 dimenangi oleh Rablin Arah dan tempat ketiga, Ahmad Zulhilmi Ahmad Zainori menerima RM200.

 

-MRR

Tinggalkan komen anda