
Laporan dan foto: Siti Noor Asmani Che Mat Saleh (Tumpat)
TUMPAT, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Kehadiran Kaunter Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kampung Dalam Rhu di sini hari ini disambut baik penduduk kerana mampu meringan beban untuk berurusan di pusat-pusat berjauhan.
Bagi seorang penduduk kampung, Roslina Saleh, 57, perkhidmatan tersebut amat memudahkan kerana sebelum ini dia gagal memperbaharui cukai jalan yang telah tamat tempoh lebih setahun di Pejabat Pos.
“Urusan hanya boleh diselesaikan di JPJ negeri, jadi memang bermasalah sebab jauh dan ambil masa yang lama, tetapi dengan adanya kaunter bergerak ini, ia dapat menjimatkan masa,” tambahnya lagi.
Pendekataan yang diambil oleh pihak JPJ Negeri Kelantan dengan menempatkan Kaunter Bergerak 1JPJ di hadapan sebuah pasaraya di sini hari ini memudahkan penduduk di kawasan tersebut.
Menurut Ketua Kaunter 1JPJ Azman Idris dari JPJ Panji, kaunter yang dibuka dari pukul 9.30 pagi hingga 3.00 petang ini menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk bayaran saman, memperbaharui lesen kenderaan, menyemak status saman dan banyak lagi.
“Esok pihak JPJ akan membuka kaunter yang sama di Tendong, Pasir Mas dan seterusnya ke daerah-daerah lain di negeri Kelantan.
“Bagi cukai jalan motosikal yang telah tamat tempoh lebih setahun pemilik perlu datang ke Puspakom untuk pemeriksaan kenderaan dan akan dikenakan bayaran, tetapi hari ini pemilik hanya perlu membawa motosikal tersebut untuk diperiksa dan juga geran dan tiada bayaran akan dikenakan,” jelasnya lagi.
Bagi Firdaus Che Soh, 27, dari Kampung Kok Pasir pula perkhidmatan tersebut disambut dengan kesyukuran kerana pendekatan yang diambil oleh agensi kerajaan itu benar-benar membantu rakyat.
“Saya hanya bekerja sebagai buruh dan jika pergi ke JPJ negeri saya terpaksa mengambil cuti dan tiada pendapatan pada hari tersebut. Tetapi kini saya masih lagi boleh bekerja kerana jarak dekat dan tidak perlu menunggu lama,” katanya.