
Laporan: Haniza Harun (Melaka) Foto : Facebook Idris Haron
AYER KEROH, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Melaka, Idris Haron berkata masyarakat yang bertanggungjawab, adalah masyarakat yang sanggup bersama kerajaan membantu menggunakan air secara berhemah dan berjimat cermat serta tidak membazir.
Katanya lagi, apabila melihat paip pecah atau berlaku kebocoran, segera melaporkan kepada pihak berkaitan, begitu juga jika berlaku kecurian air atau meter air serta pembuangan sisa toksik atau sampah pada sumber air segera laksanakan peranan masing-masing.
“Tugas SAMB tidak mudah kerana perlu mengurus sumber air secara bersepadu, menarik taraf sistem air sedia ada dengan meneroka sumber alternatif termasuk potensi air bawah tanah selain penuaian air hujan.
“Program pendidikan perlu dipergiat kepada masyarakkat bagi memberi kesedaran akan tanggungjawab memelihara sumber air serta tidak melakukan pembaziran,” kata Idris ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bertempat di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh disini, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Ir. Mohd Khalid Nasir berkata pembangunan Negeri Melaka yang pesat secara langsung memerlukan perancangan dan pembangunan mantap bagi pengurusan bekalan air dalam menyokong dasar pembangunan negeri dan negara yang telah ditetapkan, ini dapat dilihat dengan peningkatan permintaan air bersih 580 juta liter sehari ketika ini.
“Melalui Qualiti Assurance Programme (QAP) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), SAMB telah menunjukkan peningkatan prestasi QAP pada tahun 2017 kepada 5/5 seperti mana yang telah ditetapkan oleh KKM.
“Petunjuk prestasi adalah melalui bacaan parameter e-coli, e-coli+klorin, baki klorin, kekeruhan dan aluminium, air bersih yang dibekalkan kepada pengguna diuji melalui 204 buah stesen percontohan di seluruh Melaka secara berjadual oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bersama pihak SAMB bagi memastikan kesemua parameter air bersih melepasi tahap bacaan yang telah ditetapkan.
“Dengaan liputan 100 peratus air bersih, SAMB merekodkan 299,000 pengguna berdaftar dengan penggunaan domestik 234 liter per kapita per hari,” ujar Mohd Khalid.