
Ahmad Marzuki bersama Nasir sedang menyaksikan perserta pertanding Mobile Legends.
Laporan & Foto : Umar Yusof (Sabah)
SEMPORNA, SABAH, 15 Feb. (Malaysiaaktif) – Penggunaan gajet dan aplikasi dalam media sosial kini strategi utama Pemuda UMNO Semporna mendekati golongan pengundi muda di daerah berkenaan.
Naib Pergerakan Pemuda UMNO Semporna, Ahmad Marzuki Datuk Seri Nasir Sakaran berkata pendekatan ini mampu menarik sokongan golongan muda di Semporna kepada perjuangan parti tersebut.
“Mendekati golongan terbabit perlu ditentukan bukan sahaja melalui sentuhan peribadi secara fizikal malah turut perlu menggunakan media sosial,” ujarnya.
“Pemuda UMNO Semporna tidak pernah berhenti berusaha menarik pengundi muda dan sentiasa melaksanakan pelbagai cara serta aktiviti untuk menarik minat mereka.
“Justeru, menjadi tanggungjawab Pemuda UMNO Semporna sebagai sayap mewakili orang muda untuk melaksanakan program mendekati mereka secara lebih berkesan, terutama bagi membetulkan tanggapan salah terhadap Barisan Nasional.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pertandingan Mobile Legends Daerah Semporna di Balai Seni Inabah Kamal, Semporna pada Selasa.
Tambahnya, pergerakan itu akan terus menggalakkan belia di daerah tersebut mendaftar dan mengemaskinikan maklumat undi masing-masing di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan mereka dapat mengundi pada PRU nanti.
“Pengundi muda hari ini mengutamakan aspek kerjaya berbanding politik, oleh itu menjadi tanggungjawab pergerakan pemuda UMNO untuk melipat kali ganda memberi penjelasan betapa pentingnya mengundi.
Jelasnya lagi, sebagai permulaan kami mengadakan Pertandingan Mobile Legends ini sebagai salah satu cara mendekati golongan terbabit.
Hadir sama Pemangku Ketua UMNO bahagian Semporna, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.